50 Agensi, 170 Perkhidmatan Disediakan Sempena SKS Mukah
MUKAH: Sebanyak 50 agensi kerajaan dengan 170 jenis perkhidmatan akan disediakan kepada rakyat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah yang akan berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah berkenaan merupakan antara yang terbesar setakat ini bagi siri jelajah SKS, sekali gus memberi peluang kepada rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus.
Menurut beliau, SKS merupakan platform Kerajaan Sarawak untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan turun padang apabila agensi, jabatan dan kementerian menyediakan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.
“SKS Bahagian Mukah merupakan edisi kelapan dalam siri jelajah program berkenaan dan perasmiannya akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 3 Oktober,” katanya pada sidang media SKS 2026 Bahagian Mukah, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini, pada Isnin.
Beliau memberitahu, tujuh kluster utama disediakan merangkumi pentadbiran bahagian dan daerah, digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan dan pembangunan modal insan, kesihatan, sosial dan kebajikan serta kaunter bayaran dan perkhidmatan.
Jelasnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk Kaunter Tali Khidmat, perkhidmatan digital seperti SarawakPass dan SPayGlobal serta bantuan pembiayaan, geran dan latihan keusahawanan.
“Bagi golongan belia dan pencari kerja, temuduga terbuka di bawah JobSarawak turut diadakan dengan penyertaan tujuh syarikat iaitu Sarawak Oil Palms Berhad, Press Metal Sdn Bhd, Takaful Ikhlas, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Tradewinds Plantation, Rinwood Plantation dan TH Plantation.
“Ini merupakan jumlah penyertaan syarikat terbesar bagi program JobSarawak setakat ini,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memberitahu, edisi kali ini turut menampilkan nilai tambah baharu menerusi penyertaan Bank Negara Malaysia yang menyediakan semakan wang tidak dituntut serta khidmat nasihat berkaitan pinjaman dan penstrukturan semula kewangan dan JAIS yang menawarkan perkhidmatan termasuk permohonan kad nikah secara percuma.
Tambahnya, dari segi kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menyediakan saringan dan konsultasi kesihatan serta kecergasan, termasuk vaksinasi influenza percuma untuk warga emas dan ujian HPV DNA kanser serviks secara percuma.
Program itu turut menampilkan sukaneka rakyat, persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat, selain 85 hadiah e-Peraduan dengan hadiah utama sebuah kereta Proton Saga bernilai RM41,000.
Sementara itu, Dato Sri Fatimah menjelaskan, SKS Bahagian Mukah yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos lalu ditangguhkan kepada 2 hingga 4 Oktober susulan keadaan jerebu.
Ujarnya, pelaksanaan aktiviti luar termasuk acara berjalan santai bersama Premier Sarawak akan bergantung kepada keadaan kualiti udara semasa bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai terjamin.
Justeru, Dato Sri Fatimah berharap masyarakat Bahagian Mukah dan kawasan sekitarnya hadir beramai-ramai memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, ADUN Tellian Royston Valentine, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Sapiah Daud dan Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli. -EDISI UKAS