Projek Infrastruktur Limbang Dilaksana Ikut Keutamaan, Keperluan Rakyat
LIMBANG: Projek infrastruktur di Limbang dilaksana mengikut keutamaan bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat memenuhi keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas, memperbaiki jaringan perhubungan serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perancangan rapi melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan projek infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Sesuatu projek perlu melalui beberapa proses, bermula daripada peringkat kajian dan reka bentuk, diikuti proses tender sebelum pelaksanaannya," katanya ketika berucap pada Porgram Pemimpin Bersama Rakyat:Majlis Penyerahan Geran MRP, di sini, pada Ahad.
Menurut Datuk Hasbi lagi, perancangan dan penyelarasan yang sistematik penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, penggunaan sumber lebih berkesan dan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh penduduk setempat.
Tambahnya, keadaan ekonomi semasa turut mempengaruhi pelaksanaan projek apabila projek yang belum ditender perlu ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada projek yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, antara projek yang diluluskan termasuk jalan Kubong Ulu Pandaruan yang menelan kos ratusan juta ringgit, selain Jalan Limpaku Pinang yang kini masih dalam proses pembinaan.
Pada majlis berkenaan, seramai 110 penerima telah menerima geran MRP melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan cawangan-cawangan Perwakilan Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) daerah Limbang dengan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM371,000.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Penghulu Franky Isak dan Pengerusi PPWS Daerah Limbang Dayang Suridah Mohd Superi.-EDISI UKAS