Dua Pelajar SMK Asajaya Bawa Malaysia Ke Podium WRO Asia Pacific
KOTA SAMARAHAN: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia apabila pasukan robotik AsaGiant Ambal meraih pingat gangsa dalam kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific 2026 di Hyderabad, India.
Kejayaan Naqib Rafiudin Fiqri Rosli dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah itu amat bermakna apabila mereka berjaya membawa cabaran Malaysia ke podium dalam kejohanan yang menghimpunkan 149 pasukan dari 25 negara dari 25 hingga 27 September lalu.
Lebih membanggakan, pingat gangsa AsaGiant Ambal merupakan satu-satunya pingat gangsa yang diraih kontinjen Malaysia pada kejohanan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata kejayaan tersebut membuktikan anak luar bandar mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa apabila diberikan peluang, bimbingan dan pendedahan yang sewajarnya.
“Sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan, sudah tentu saya cukup bangga melihat dua anak muda dari Asajaya membawa nama sekolah, daerah, Sarawak dan Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Namun bagi saya, kejayaan ini lebih besar daripada sebutir pingat. Di belakangnya ada sebuah perjalanan panjang yang telah dibina hampir dua dekad,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan AsaGiant Ambal merupakan hasil usaha berterusan guru pembimbing, pihak sekolah, ibu bapa serta generasi pelajar yang telah membina legasi robotik SMK Asajaya sejak sekian lama.
Katanya, Kelab Robotik Asajaya yang dibangunkan Cikgu Supian Zulkifli sekitar 2007 terus berkembang sehingga melahirkan generasi pelajar yang mampu mencipta kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Daripada sebuah kelab robotik sekolah, AsaGiant Ambal perlahan-lahan membina nama. Pelajar datang dan pergi, generasi silih berganti, tetapi semangat AsaGiant Ambal terus diwarisi untuk pergi lebih jauh,” katanya.
Datuk Rubiah berkata perjalanan AsaGiant Ambal turut pernah membawa nama Asajaya ke pertandingan antarabangsa di New Delhi pada 2016 dan Costa Rica pada 2017 sebelum kembali mencipta kejayaan di Hyderabad.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan lokasi seseorang membesar bukan penghalang untuk mencapai kejayaan bertaraf dunia.
Sementara itu, kejayaan kontinjen Malaysia pada WRO Open Championship Asia Pacific 2026 turut menyaksikan negara membawa pulang tiga pingat emas, satu gangsa, tiga kedudukan kelompok lapan terbaik serta satu Anugerah Khas.
Tiga pingat emas negara masing-masing diraih menerusi kategori Future Innovators Elementary, Future Innovators Senior High dan RoboMission Senior High, manakala Malaysia turut mencatat tempat kelima Future Innovators Elementary, tempat keenam dan kelapan RoboMission Elementary serta menerima Robotics Reliability Award bagi RoboMission Junior High.
Datuk Rubiah berharap kejayaan AsaGiant Ambal menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai pelajar di Asajaya dan kawasan luar bandar untuk meneroka bidang robotik, STEM, teknologi dan inovasi.-EDISI UKAS