Sarawak Perkukuh Kawalan Rabies Rentas Sempadan, Sasar Status Bebas Rabies
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh pengawasan, penguatkuasaan dan kawalan pergerakan haiwan merentasi sempadan bagi mengekalkan kemajuan ke arah mencapai status bebas rabies.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kedudukan geografi Sarawak di Borneo serta hubungan dengan wilayah berjiran menjadikan kerjasama rentas sempadan penting dalam usaha mengawal dan seterusnya membasmi rabies.
Katanya, penyakit itu tidak mengenal sempadan daerah, negeri atau negara, justeru usaha pencegahan dan kawalan tidak boleh hanya bergantung kepada sempadan pentadbiran.
“Rabies tidak mengenal sempadan. Penyakit ini tidak membezakan antara daerah, negeri atau negara. Justeru, usaha kita untuk menanganinya juga tidak boleh terbatas kepada sempadan pentadbiran semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Hui Kian pada majlis pelancaran Rabies in Asia (RIA) 2026 yang diadakan bersempena Rabies in Borneo (RIB) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Selasa.
Menurut Premier Sarawak, peranan Immune Belt Enforcement Team (IBET) perlu terus diperkukuh sebagai sebahagian penting daripada usaha kawalan rabies, terutama di kawasan yang berisiko berlaku pergerakan haiwan merentasi sempadan.
Katanya, seramai 113 anggota IBET menyertai persidangan tersebut dan memainkan peranan dalam memperkukuh pengawasan, penguatkuasaan serta usaha pencegahan di lapangan.
Tambahnya, Sarawak turut meneruskan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan termasuk vaksinasi, pengawasan, penguatkuasaan, kesedaran awam serta kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan strategik.
Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah Vaksinasi Rabies Oral (ORV) bagi menjangkau anjing berkeliaran yang sukar ditangkap dan divaksin secara konvensional.
Program lapangan terkini melibatkan pengedaran 2,281 umpan vaksin oral selain vaksinasi 3,579 ekor anjing.
Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, usaha membasmi rabies tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan kepakaran teknikal, pengalaman lapangan, komuniti serta pelbagai organisasi yang berkongsi matlamat sama.
Sehubungan itu, pendekatan One Health terus diberi penekanan dengan kerjasama sektor kesihatan veterinar dan kesihatan awam, disokong agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, penyelidik, organisasi kebajikan haiwan dan komuniti.
Menurutnya lagi, peluasan platform Rabies in Borneo kepada Rabies in Asia pula membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dengan lebih banyak negara dan organisasi, khususnya dalam aspek pengawasan, vaksinasi, kawalan pergerakan haiwan, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan.
“Matlamat membasmi rabies tidak boleh dicapai oleh satu negara, satu agensi atau satu profesion sahaja. Ia memerlukan komitmen berterusan dan yang paling penting, kerjasama,” tegasnya.
Kerjasama berterusan itu penting bagi memastikan setiap langkah pencegahan, pengesanan, pemantauan pergerakan haiwan dan penglibatan komuniti terus diperkukuh sehingga sasaran membasmi rabies dapat dicapai.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, merangkap Ahli Majlis Veterinar Malaysia, Dr Simon Sinang @ Sinang Bada, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Datu Elizabeth Loh, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS), Datu Dr. Adrian Susin Ambud, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), Datin Sri Dona Drury Wee dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd, Mona Abdul Manap. - EDISI UKAS