Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia 2026 Julung Kali Dilaksana Di Sarawak
KUCHING: Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) 2026 akan dilaksanakan buat julung kalinya di Sarawak pada 1 Oktober ini, melibatkan 24 calon dari seluruh negeri.
Peperiksaan yang berlangsung di Dewan Kenyalang, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) itu dianjurkan Lembaga Amanah Yayasan Tahfiz Sarawak dengan kerjasama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan IKMAS.
Calon akan menduduki peperiksaan yang merangkumi empat subjek teras dalam penguasaan ilmu Al-Quran.
STM merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam usaha memberi pengiktirafan tahfiz tertinggi di Malaysia yang diperkenalkan oleh JAKIM pada tahun 2011 sebagai satu mekanisme penilaian dan pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian para huffaz.
Pelaksanaan peperiksaan di Sarawak menjadi satu langkah penting dalam memperkasa institusi tahfiz di negeri ini serta membuka peluang yang lebih luas kepada para pelajar untuk memperoleh pengiktirafan di peringkat kebangsaan tanpa perlu mengikuti peperiksaan di luar Sarawak.
Penganjuran ini juga mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan al-Quran dan melahirkan generasi huffaz yang berkualiti, berilmu serta mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
Pelaksanaan STM di Sarawak akan diteruskan sebagai kalendar ujian tahunan, sekali gus menjadi platform utama bagi komuniti tahfiz di Sarawak untuk memperoleh pengiktirafan profesional dalam bidang tahfiz serta mengangkat martabat pendidikan al-Quran di negeri ini.-EDISI UKAS