Sejarah penempatan awal kampung Melayu perlu dikaji, didokumentasikan
KUCHING: Kewujudan nama-nama kampung Melayu di sekitar bandar raya ini yang mempunyai persamaan dengan lokasi di Pulau Jawa membuka ruang kepada kajian lebih mendalam mengenai sejarah awal Sarawak sebelum era pemerintahan Brooke.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga kini masih belum ada penyelidikan komprehensif yang dibukukan bagi menjelaskan asal-usul nama kampung seperti Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Surabaya dan Kampung Semarang.
Menurut beliau, nama-nama tersebut tidak mungkin muncul secara kebetulan, sebaliknya dipercayai mempunyai kaitan sejarah termasuk kemungkinan penghijrahan masyarakat dari Pulau Jawa ke Sarawak suatu ketika dahulu.
“Kalau kita lihat, kampung-kampung ini sudah pun wujud sebelum kedatangan Brooke lagi dan ini menunjukkan adanya sistem penempatan dan tamadun lebih awal di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak di Wisma Melayu, di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, penemuan tapak sejarah seperti candi di Santubong yang mempunyai persamaan dengan seni bina di Borobudur turut menguatkan kemungkinan kewujudan pengaruh tamadun awal seperti era Sri Vijaya di rantau ini.
Beliau menegaskan, sejarah Sarawak tidak seharusnya dilihat bermula dari zaman Brooke semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi tempoh lebih awal yang menunjukkan kewujudan sistem pemerintahan dan masyarakat berbilang kaum yang hidup secara harmoni.
Menarik lagi perhatian katanya, kewujudan komuniti Cina di Bau yang telah menjalankan aktiviti perlombongan emas sebelum kedatangan Brooke, serta kewujudan kawasan seperti Jalan India dan Masjid India di Kuching yang dipercayai telah lama wujud.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak penyelidikan dilakukan oleh institusi pengajian tinggi dan penyelidik tempatan bagi mendokumentasikan sejarah-sejarah ini secara lebih menyeluruh.
“Usaha membukukan sejarah ini penting supaya generasi akan datang dapat memahami asal-usul masyarakat dan bagaimana keharmonian antara kaum dapat dibentuk sejak dahulu lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan kerjasama antara pelbagai agensi seperti Arkib Negara, muzium, Pustaka Negeri Sarawak, RTM dan Jabatan Penerangan dalam menyelaras bahan sejarah sedia ada.
Jelasnya, walaupun setiap agensi mempunyai koleksi tersendiri yang lengkap dan terpelihara, kekangan dari segi perkongsian sumber menyebabkan penyelidik perlu merujuk pelbagai lokasi secara berasingan.
“Koordinasi dan kolaborasi antara agensi amat penting bagi memudahkan akses kepada bahan sejarah serta memastikan usaha penyelidikan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya.-EDISI UKAS