Pengajar Memandu Perlu Perkukuh Profesionalisme, Bentuk Pemandu Berdisiplin
MIRI: Pengajar memandu perlu memperkukuh profesionalisme dan kualiti latihan bagi membentuk pemandu yang bukan sahaja mahir mengendalikan kenderaan, malah mempunyai disiplin, pertimbangan serta kesedaran terhadap keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata peranan pengajar memandu perlu dilihat lebih luas kerana mereka merupakan antara pendidik awal yang membentuk sikap seseorang sebelum menjadi pengguna jalan raya secara berdikari.
Menurut beliau, keberkesanan sistem latihan pemanduan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah calon yang lulus ujian semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kualiti pemandu yang dilahirkan.
“Kita bukan sekadar mahu melahirkan pemandu yang tahu memandu. Kita perlu melahirkan pemandu yang mampu membuat keputusan dengan selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kr Nicholas Toh pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-43 Persatuan Pengajar Memandu Kereta (PPMK) Miri di sebuah hotel termuka Miri, pada Isnin.
Dato Sri Lee berkata, keperluan memperkukuh aspek pendidikan dan latihan pemanduan semakin penting berdasarkan statistik kemalangan jalan raya yang direkodkan di Sarawak dan Miri.
Sarawak merekodkan 21,747 kes kemalangan jalan raya pada 2025, termasuk 384 kemalangan maut berbanding 362 kes pada 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 pula, sebanyak 5,609 kes kemalangan direkodkan di Sarawak, termasuk 99 kemalangan maut yang mengorbankan 107 nyawa.
Di Miri, sebanyak 1,165 kes kemalangan direkodkan dari Januari hingga April 2026 berbanding 1,120 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala kemalangan maut meningkat daripada 14 kepada 19 kes dan jumlah kematian daripada 15 kepada 20 orang.
Menurut beliau, keselamatan jalan raya perlu ditangani secara menyeluruh merangkumi keadaan jalan, reka bentuk jalan, pencahayaan, keadaan kenderaan, kemudahan keselamatan dan penguatkuasaan, namun tingkah laku manusia turut menjadi elemen penting.
Sehubungan itu, latihan pemanduan perlu menekankan pematuhan had laju, larangan menggunakan telefon ketika memandu, mengelakkan pemanduan ketika letih, mengekalkan jarak selamat serta membuat keputusan secara bertanggungjawab.
Dalam masa sama katanya, perkembangan teknologi automotif termasuk sistem bantuan pemanduan, ciri keselamatan pintar, teknologi digital dan kenderaan elektrik menuntut pengajar memandu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Dato Sri Lee turut menyifatkan PPMK Miri sebagai platform penting untuk meningkatkan profesionalisme pengajar, menggalakkan perkongsian pengetahuan serta memperkukuh hubungan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu dan agensi kerajaan berkaitan.
Beliau turut menekankan kepentingan akses kepada lesen memandu, khususnya dalam kalangan belia dan keluarga berpendapatan rendah, yang boleh membantu meningkatkan mobiliti serta membuka akses kepada peluang pekerjaan dan ekonomi.
Katanya, inisiatif seperti Program MyLesen B2 dapat membantu golongan yang layak memperoleh lesen motosikal secara sah, namun kualiti latihan dan aspek keselamatan perlu kekal sebagai keutamaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang serta Presiden PPMK Miri, Bong Poh Hian.-EDISI UKAS