RM20,000 MRP untuk JKKK, Biro Wanita Kampung Muding
PANTU: Sebanyak RM20,000 diperuntukkan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan di Kampung Muding.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, peruntukan itu melibatkan RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM5,000 kepada Biro Wanita.
Menurutnya, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu JKKK dan Biro Wanita melaksanakan aktiviti serta program yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Randau Ruai di Rumah Achang Mumin, Kampung Muding, pada Ahad.
Majlis Randau Ruai itu turut menjadi ruang bagi penduduk mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan dasar kerajaan, kebajikan serta pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Lebih 80 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) turut menghadiri program tersebut yang menyaksikan sesi berandau memberi tumpuan kepada isu pembangunan luar bandar, kebajikan rakyat dan bentuk bantuan yang disediakan kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, projek pembinaan jalan baharu sepanjang 42 kilometer dengan peruntukan RM265.5 juta bakal meningkatkan jaringan perhubungan beberapa penempatan di kawasan berkenaan.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tuba, Kampung Muding, Kampung Mentu dan Kampung Ipoh menerusi akses lebih baik ke pasar, klinik, pejabat kerajaan serta kemudahan awam lain.-EDISI UKAS