Sadong Jaya Coastal Run Angkat Potensi Rekreasi Pesisir
SADONG JAYA: Sadong Jaya Coastal Run 2026 mengangkat potensi kawasan pesisir daerah kecil ini sebagai lokasi rekreasi berasaskan komuniti dengan penyertaan 1,100 peserta dari dalam dan luar Sadong Jaya.
Edisi kedua yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober ini di Panggung Udara Pekan Warisan Sadong Jaya itu menghimpunkan 807 peserta daripada komuniti Sadong Jaya dan pelajar sekolah, manakala 293 peserta lain datang dari pelbagai kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Limbang.
Peserta akan menyertai tiga kategori larian iaitu 10 kilometer, lima kilometer dan tiga kilometer yang menggunakan laluan jalan pesisir Sadong Jaya, sekali gus memberi peluang mengetengahkan pemandangan tepi laut serta persekitaran semula jadi kawasan berkenaan termasuk ekosistem paya bakau.
Penganjuran ini turut membawa mesej pemeliharaan alam sekitar apabila peserta dan komuniti digalakkan memastikan laluan serta kawasan sekitar kekal bersih sepanjang acara.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, larian berkenaan menjadi platform memperkenalkan Sadong Jaya sebagai destinasi komuniti dan rekreasi, di samping berpotensi memberi limpahan manfaat kepada aktiviti ekonomi setempat melalui kehadiran peserta dari luar kawasan.
Pelepasan peserta dilaksanakan secara berperingkat bermula kategori 10 kilometer pada 6.30 pagi, diikuti lima kilometer pada 6.45 pagi dan tiga kilometer pada 7 pagi bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang acara.
Program berkonsepkan komuniti dan kelestarian alam sekitar itu turut dinyatakan menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi ‘International World Green and Health Congress’ ke-15 di Australia.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo turut hadir sebagai antara tetamu kehormat program berkenaan. -EDISI UKAS