BPIT 2026 Perkukuh Kuching Sebagai Destinasi Acara Sukan Antarabangsa
KUCHING: Borneo Pickleball International Tournament (BPIT) 2026 terus memperkukuh potensi Kuching sebagai destinasi acara sukan antarabangsa apabila edisi keduanya menghimpunkan penyertaan pemain dari Malaysia, Australia, Brunei Darussalam dan Indonesia.
Kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 12 Oktober di PIKABOL MALAYSIA itu turut disokong oleh rangkaian rakan strategik merangkumi sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan, agensi pelancongan, media dan komuniti sukan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, kejohanan tersebut mencerminkan potensi kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, persatuan sukan dan komuniti dalam membangunkan sukan di Sarawak.
“Sukan berperanan menyatukan masyarakat, membangunkan bakat dan memperkukuh komuniti, dengan BPIT menunjukkan hasil yang boleh dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media pada Selasa.
BPIT 2026 menyasarkan kehadiran 2,500 peserta dan penonton, termasuk 576 pemain yang melibatkan 24 pasukan dalam Team Event serta 144 pasangan bagi enam kategori beregu.
Setakat ini, pendaftaran telah mencapai 70 peratus daripada sasaran keseluruhan dengan penyertaan dari Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Australia, Brunei dan Indonesia.
Sementara itu, Presiden Kuching Pickleball Association (KPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola BPIT 2026, Ruslan Bujang berkata, kerjasama pelbagai pihak penting dalam membangunkan kejohanan berkenaan sebagai platform yang memberi lebih banyak peluang kepada pemain serta memperluas kehadiran Sarawak dalam sukan pickleball.
“BPIT 2026 dapat dilaksanakan hasil keyakinan dan komitmen penaja serta rakan kongsi kami. Bersama-sama, kita mewujudkan lebih banyak peluang untuk pemain dan mengembangkan kehadiran Sarawak dalam sukan pickleball,” katanya menerusi kenyataan sama.
Kejohanan tersebut turut menawarkan nilai hadiah keseluruhan melebihi RM80,000, termasuk RM20,000 untuk juara Team Event.
Pendaftaran BPIT 2026 dilanjutkan sehingga 3 Oktober, jam 6 petang waktu Malaysia. -EDISI UKAS