Mangsa Kebakaran Long Jekitan Dibantu, Infrastruktur Diperkukuh
MIRI: Seramai 10 keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Long Jekitan di sini menerima bantuan melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, manakala usaha memperkukuh kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan berkenaan turut diteruskan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, bantuan berkenaan disalurkan bagi meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran.
“Mereka tidak bersendirian dalam menghadapi musibah ini kerana masyarakat, kerajaan serta pelbagai pihak sentiasa bersama-sama menghulurkan bantuan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan satu media selepas mengunjungi keluarga terjejas itu pada Isnin.
Datuk Gerawat turut merakamkan penghargaan kepada PETROS, Merbau Furniture, Pergerakan Bapa, Wanita, Pemuda dan Belia Mulu serta semua penyumbang, khususnya Pergerakan Pemuda Mulu yang diketuai Cyril Kuling atas usaha menyelaras penghantaran bantuan.
Dalam masa sama, beliau berkata keperluan infrastruktur Long Jekitan terus diberi perhatian termasuk permohonan menaik taraf jambatan di Sungai Tebao, Sungai Sengayan dan Sungai Lakat yang telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, kerja baik pulih dan naik taraf dilaksanakan secara berperingkat, manakala jalan Long Jekitan–Lapok dirancang untuk dinaik taraf secara berperingkat dalam jangka panjang.
Perancangan tersebut jelasnya selaras dengan persetujuan Premier Sarawak supaya kerajaan negeri mengambil alih jalan balak daripada syarikat pembalakan.
Menurut beliau lagi, Long Jekitan kini menikmati bekalan elektrik dan kemudahan telekomunikasi, manakala projek bekalan air bersih sedang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).-EDISI UKAS