Hampir 400 peserta meriahkan Pertandingan Memancing Joran Bidek
SEBUYAU: Hampir 400 peserta dari dalam dan luar kawasan Sebuyau menyertai Pertandingan Memancing Joran Bidek Edisi Ke-4 Piala Ahli Parlimen P201 Batang Lupar, sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai antara aktiviti komuniti yang mendapat sambutan menggalakkan.
Saudara Lihi dari Kampung Tambey, Samarahan muncul johan pertandingan selepas berjaya menaikkan ikan sembilang seberat 640 gram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Tempat kedua dimenangi Saudara Wan Kamel dari Sri Aman yang menerima RM3,000, manakala Saudara Zulzaini dari Sebuyau menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.
Pertandingan yang bermula pada jam 10.30 pagi itu bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat setempat, malah turut menghimpunkan peserta dari pelbagai kawasan luar Sebuyau.
Kehadiran peserta berkenaan dilihat turut menyumbang kepada kemeriahan program selain menyediakan ruang untuk masyarakat berinteraksi dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar, Mohamad Shafizan Haji Kepli.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada JKKK Jalan Giat Mara Sebuyau serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.-EDISI UKAS