KUCHING: Perancis menyatakan kesediaan untuk menyokong pembangunan AirBorneo, termasuk menerusi kepakaran dan pengalaman Airbus yang mempunyai sejarah kerjasama lebih 50 tahun di Malaysia.
Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata, Airbus mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang aeronautik di Malaysia sekali gus turut melihat kerjasama lain bersama syarikat AirBorneo.
"Sudah tentu, dalam bidang aeronautik, kami membincangkan bagaimana Perancis boleh menyokong pembangunan AirBorneo, termasuk memanfaatkan kehadiran Airbus di Malaysia.
"Airbus mempunyai sejarah kerjasama selama lebih 50 tahun di Malaysia yang merangkumi pelbagai bidang seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan, serta pembangunan bahan api mampan untuk penerbangan.
"Kami turut membincangkan potensi kerjasama lain dengan AirBorneo," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas Majlis Perasmian Sarawak Global Supply Chain & Sourcing 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Marc Abensour berkata, pihaknya juga membincangkan kemungkinan kerjasama antara Pusat Penyelidikan Pertanian Perancis bagi Pembangunan Antarabangsa (CIRAD) dengan UPM Sarawak bagi menjalankan pemetaan hutan di Sarawak.
Menurutnya, hasil penilaian yang tepat dan boleh dipercayai itu boleh menjadi asas kepada pembangunan aktiviti dalam industri perkayuan dan pembinaan, termasuk usaha membangunkan rujukan antarabangsa bagi pembinaan bangunan tropika rendah karbon.
Selain itu katanya, perbincangan turut merangkumi pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi penglibatan syarikat Perancis seperti EDF yang berminat untuk meneroka projek tenaga hidroelektrik serta aspek pengurusan grid.
Tambahnya, kerjasama lain yang berpotensi adalah bersama dengan syarikat seperti Air Liquide dan Axens bagi membangunkan projek penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF). -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Douglas Demong