Sarawak Rekod RM11.2 Bilion Pelaburan Separuh Pertama 2026
KUCHING: Sarawak merekodkan RM11.2 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan bagi tempoh separuh pertama 2026.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian tersebut meneruskan momentum pelaburan Sarawak selepas berjaya memperoleh RM116 bilion pelaburan diluluskan antara 2021 hingga 2025.
Menurutnya, Sarawak perlu memastikan pelaburan yang diterima bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah mewujudkan hubungan lebih kukuh dengan ekonomi dan pemain tempatan.
“Kita mahu pelaburan, sama ada Pelaburan Domestik Langsung (DDI) atau Pelaburan Langsung Asing (FDI), menjana peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pengetahuan, perusahaan tempatan yang lebih kukuh serta akses pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian 'Sarawak Global Supply Chain & Sourcing 2026' di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, transformasi ekonomi Sarawak kini membuka peluang dalam sektor pembuatan maju dan semikonduktor, tenaga hijau, hiliran minyak, gas dan petrokimia, logam hijau, hidrogen dan teknologi bersih, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, kejuruteraan ketepatan, pertanian dan pembuatan makanan.
Sehubungan itu katanya, pelaburan besar di lokasi perindustrian strategik seperti Kuching, Bintulu dan Miri perlu dihubungkan dengan lebih berkesan kepada perniagaan Sarawak dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, perkhidmatan profesional, pembuatan, penyelesaian digital dan perkhidmatan khusus.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan penyertaan dalam rantaian bekalan global memerlukan inovasi, disiplin dan penambahbaikan berterusan bagi memenuhi tuntutan pelanggan global dari aspek kualiti, kebolehpercayaan, daya saing, inovasi serta standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Justeru katanya, syarikat Sarawak perlu dikenalpasti berkeupayaan dan menyediakan mereka secara sistematik untuk memenuhi keperluan perolehan pelabur utama.
"Ini bermakna memperkukuh pensijilan, standard kualiti, sistem pengurusan, kapasiti pengeluaran, kesiapsiagaan kewangan, penerapan teknologi dan kebolehpercayaan dalam penyampaian," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datu Lester Matthew, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais serta kenamaan lain. -EDISI UKAS