Komuniti Ba’kelalan Perkukuh Peranan Pantau Keselamatan Sempadan
BA’KELALAN: Penglibatan komuniti setempat perlu terus diperkasa sebagai rakan strategik agensi keselamatan dalam membantu memantau dan membendung aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang di Ba’kelalan.
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak, Mohammad Haffizie Putit berkata, kerjasama komuniti penting khususnya dalam mengekang ancaman penyeludupan dadah yang boleh menjejaskan golongan belia serta kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.
“Komitmen masyarakat setempat merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan kawasan sempadan sentiasa terpelihara, termasuk membendung ancaman penyeludupan dadah yang boleh menjejaskan golongan belia dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Randau Keselamatan Komuniti Ba’kelalan di Dewan Kampung Buduk Nur, Ba’kelalan, pada Isnin.
Menurut Mohammad Haffizie, hubungan rapat antara masyarakat dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan membolehkan isu keselamatan setempat dibincangkan serta maklumat berkaitan ancaman di kawasan sempadan disampaikan dengan lebih berkesan.
Program anjuran MKN Negeri Sarawak dengan kerjasama Briged Kesembilan Infantri Malaysia itu menjadi platform interaksi antara komuniti dan agensi berkaitan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan sempadan.
Penglibatan penduduk daripada 10 kampung di kawasan Ba’kelalan turut mencerminkan sokongan komuniti terhadap usaha memperkukuh keselamatan di kawasan berkenaan.
Program turut diisi dengan taklimat keselamatan sempadan oleh agensi terlibat serta Kuiz Keselamatan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu keselamatan dan peranan mereka dalam membantu agensi berkaitan.
Turut hadir, Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato Jafri Sulaiman, Pengarah Bahagian Pengurusan Sempadan Darat MKN Jabatan Perdana Menteri, Izzati Ismail, Penghulu Yudan Meru serta wakil agensi keselamatan, penguatkuasaan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ba’kelalan.-EDISI UKAS