Ekosistem Industri Sarawak Perlu Diperkukuh Secara Bersepadu
KUCHING: Pembangunan ekosistem industri yang kukuh dan saling berhubung antara tenaga, air, infrastruktur, teknologi, bakat, logistik serta pelabuhan penting bagi menyokong pertumbuhan industri dan menarik pelaburan ke Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Anuar Ismail berkata, ketersediaan infrastruktur semata-mata tidak menjamin kejayaan sesuatu pelaburan sekiranya setiap komponen dalam ekosistem tidak diperkukuh secara bersama.
Menurut beliau, pelabur menilai keseluruhan ekosistem termasuk bekalan air dan tenaga, teknologi, tenaga kerja berkemahiran, tanah, pelabuhan serta infrastruktur sebelum membuat keputusan pelaburan.
“Semua parameter dalam rantaian ini perlu diperkukuh dan kita perlu bekerjasama untuk memastikan setiap komponen dapat berfungsi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk ‘Enabling Industrial Growth in Sarawak: Infrastructure, Energy, Semiconductor and Supply Chain Ecosystem Opportunities’ sempena Sarawak Global Supply Chain & Sourcing Forum 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Sesi tersebut dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) Chew Heng Guan.
Turut menjadi panelis ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Shariman Jamil, Naib Presiden Komersial, Pembangunan Perniagaan Sarawak Energy Berhad Ir. Leslie Chai Kim Pau serta Pengurus Bahagian Pemantauan, Sarawak Water Sdn Bhd, Ts. Chong Wei Min.
Sementara itu, Shariman berkata pembangunan industri semikonduktor di Sarawak perlu merangkumi keseluruhan rantaian ekosistem daripada reka bentuk cip, fabrikasi, pembungkusan, pengujian hingga eksport.
Katanya, peluang kerjasama juga tidak terhad kepada pembekalan bahan mentah, sebaliknya boleh diperluas kepada penciptaan teknologi dan penyelesaian baharu bersama rakan industri bagi meneroka pasaran serantau, khususnya ASEAN.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat, infrastruktur serta keupayaan pembungkusan dan pengujian bagi melengkapkan ekosistem semikonduktor Sarawak.
Dalam pada itu, Leslie berkata Sarawak mempunyai kelebihan dalam tenaga boleh diperbaharui yang boleh menyokong pembangunan industri, selain membuka peluang kepada rakan teknologi, pelabur serta penyedia kepakaran untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem industri.
Beliau turut menggesa pelabur berinteraksi dengan penyedia utiliti dan agensi berkaitan pada peringkat awal bagi menyelaras keperluan tenaga, air, tanah, logistik, pelabuhan serta bakat mengikut tempoh pelaksanaan projek.
Chong pula berkata Sarawak Water membuka ruang kepada pemain industri untuk menguji teknologi berkaitan yang dapat membantu meningkatkan kecekapan dan pemuliharaan sumber air.
Katanya, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi turut diperkukuh bagi merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan sebenar industri air.
Sementara itu, Anuar berkata Bintulu Port Holdings Berhad turut menyasarkan pembangunan pelabuhan pintar, bersepadu dan hijau menerusi kerjasama dengan Shanghai Port bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.
Beliau turut menyarankan supaya proses dan keperluan berkaitan pelaburan dipermudah serta diselaraskan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelabur.
Perbincangan panel berkenaan turut mengetengahkan peluang penyertaan syarikat tempatan, dari Semenanjung Malaysia serta antarabangsa dalam membangunkan rantaian bekalan dan ekosistem industri Sarawak.-EDISI UKAS