Sarawak Sumber Utama Polisilikon Gred Semikonduktor Di Luar China
KUCHING: Sarawak merupakan salah satu daripada lima lokasi pengeluaran polisilikon gred semikonduktor di luar China, dengan dua daripada empat pemain utama dunia dalam industri berkenaan memilih negeri ini sebagai lokasi pengeluaran baharu.
Pengarah Urusan OCI Terrasus, Min GyuWon (Michael) berkata, pemilihan Sarawak oleh pemain utama dunia dalam industri berkenaan sebagai lokasi pengeluaran baharu membuktikan negeri ini bukan sekadar lokasi alternatif, sebaliknya berperanan sebagai sumber utama.
“Kami tidak melihat Sarawak sebagai sumber kedua tetapi sebagai sumber utama (prime source node).
“Daripada empat pemain utama dunia, dua memilih Sarawak sebagai lokasi kelima untuk memenuhi permintaan global polisilikon gred semikonduktor di luar China,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk ‘Investing and Growing in Sarawak: Industry Perspectives on Competitive Global Supply Chains’ yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong sempena Sarawak Global Supply Chain & Sourcing Forum 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, kestabilan dasar mesra perniagaan serta sokongan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan tenaga kerja berkemahiran turut menjadi antara faktor utama OCI Terrasus terus mengembangkan operasinya di Samalaju, Bintulu selepas lebih sedekad beroperasi di negeri ini.
Perkembangan itu turut membuka ruang kepada pengukuhan ekosistem industri tempatan, khususnya menerusi penyertaan syarikat tempatan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ELITE Industries, Wong Yi Yang berkata, hala tuju Sarawak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta industri berteknologi tinggi memberi keyakinan kepada PKS tempatan untuk terus meningkatkan keupayaan teknikal dan standard perkhidmatan bagi memenuhi keperluan syarikat multinasional (MNC).
Ketua Rantaian Bekalan merangkap Pengurus Besar (Perniagaan Kimia) Press Metal Holdings Berhad, Danny Lau Kok Cheng pula berkata, terdapat peluang besar untuk memperkukuh rantaian nilai industri aluminium di Sarawak menerusi pembangunan industri hiliran dan aktiviti kitar semula.
Menurutnya, pengukuhan infrastruktur, logistik dan ekosistem kitar semula tempatan penting bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon.
“Bagi kami, terdapat peluang besar dalam industri hiliran aluminium termasuk penyemperitan dan kitar semula kerana kitar semula aluminium dapat mengurangkan penggunaan tenaga sehingga hampir 90 peratus berbanding pengeluaran baharu,” ujarnya.
Sesi berkenaan menekankan kepentingan jaringan antara pelabur asing, syarikat tempatan dan PKS dalam memperkukuh ekosistem perindustrian Sarawak.
Program anjuran InvestSarawak itu menghimpunkan pemain industri, pelabur antarabangsa dan PKS bagi memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan serantau dan antarabangsa.- EDISI UKAS