SIBU: Simulasi pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu dilaksanakan dalam keadaan yang menyerupai situasi sebenar bagi menguji keupayaan agensi bertindak ketika berdepan bencana.
Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting berkata, pendekatan itu penting bagi mengenal pasti kelemahan, memperjelas tanggungjawab serta memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing ketika bencana berlaku.
“Kita tidak seharusnya menganggap simulasi sebagai satu permainan. Simulasi perlu menggambarkan situasi sebenar dan menguji sejauh mana kita mampu bertindak apabila berdepan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan MUC pada Selasa.
Menurut beliau, simulasi tidak seharusnya hanya dilaksanakan di lokasi yang mempunyai kemudahan lengkap dan akses mudah, sebaliknya turut melibatkan kawasan yang mempunyai kekangan dari segi penginapan, kemudahan serta aksesibiliti.
Katanya, pendekatan itu dapat memberi gambaran lebih realistik mengenai keupayaan semua agensi dalam mengurus mangsa dan menyelaras bantuan ketika berdepan keadaan sebenar.
Christopher turut menekankan kepentingan ketepatan maklumat ketika proses pendaftaran mangsa di PPS, termasuk penggunaan sistem pendaftaran melalui kod QR.
“Jika pendaftaran salah, individu yang salah akan menerima bantuan tersebut,” katanya sambil menambah ketepatan data amat penting kerana maklumat mangsa yang dikumpulkan menjadi asas kepada proses pengagihan bantuan, termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI).
Dalam pada itu, beliau berkata skop simulasi perlu mengambil kira pelbagai jenis bencana seperti kebakaran, banjir dan tanah runtuh, termasuk kejadian yang menjejaskan rumah panjang serta penempatan penduduk.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu DSP Mohamad Fhysal Abdul Radzak, Pegawai Pertahanan Awam Pejabat Pertahanan Awam Daerah Sibu Mejar (PA) Mohd Reduan Aini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Andy Alie, Pegawai Pentadbiran dan Timbalan Pegawai Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Mu Adzam Hasm, Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA Nurfarahin Abd Aziz serta Pegawai Operasi Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja Mejar Muhamad Nazrin Zainol Abidin.- EDISI UKAS