KNR1 Catat Kemajuan, Perkukuh Bekalan Tenaga Kuching-Samarahan
KUCHING: Projek Pengukuhan Rangkaian Kuching Fasa 1 atau Kuching Network Reinforcement Phase 1 (KNR 1) kini mencatat kemajuan pembinaan sebanyak 21 peratus bagi Pencawang Tanjong Bako dan 30.2 peratus bagi Pencawang Entinggan B.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di sekitar Bahagian Kuching dan Samarahan yang semakin meningkat, termasuk ke kawasan perindustrian Samajaya.
“KNR 1 yang kini melibatkan pembinaan Tanjong Bako 275/132/33kV substation dan Entinggan B 275/33kV substation bertujuan memperkukuh bekalan tenaga dari grid bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah di Kawasan Perindustrian Samajaya, sekitar Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Selasa selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan projek SEB@KNR1 di Tanjong Bako.
Menurut Dato Sri Julaihi, projek berkenaan akan menambah kapasiti bekalan tenaga 275kV melalui Tanjong Bako ke Kuching sekali gus memperkukuh rangkaian penghantaran tenaga bagi menampung peningkatan permintaan elektrik pada masa hadapan.
Jelasnya, ia termasuk permintaan daripada kawasan industri baharu serta pembangunan pusat data di kawasan Tanjong Embang, selain lapangan terbang antarabangsa baharu dan pelabuhan laut dalam yang dirancang di kawasan berkenaan.
Turur hadir semasa lawatan kerja beliau ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.-EDISI UKAS