Sarawak Sedia Tenaga Mahir Hadapi Industri Tenaga Baharu
KUCHING: Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan negeri ini mempunyai kepakaran tempatan untuk mengurus dan menyelenggara industri serta sistem tenaga baharu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pembangunan jurutera dan juruteknik tempatan menjadi keutamaan selaras dengan agenda peralihan tenaga Sarawak.
“Kita mesti melatih anak-anak muda kita dan mempunyai jurutera sendiri, mempunyai juruteknik sendiri untuk mengurus dan menyelenggara industri serta semua sistem kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Southeast Asian Symposium on Energy Transition and Security 2026 (SEASETS 2026) di sini, pada Selasa.
Menurut Datuk Dr Hazland, pembangunan modal insan dan bakat merupakan kerangka keempat dalam pelaksanaan peralihan tenaga Sarawak, selepas aspek kawal selia, teknikal serta kewangan, perniagaan dan percukaian.
Katanya, keperluan membangunkan kepakaran tempatan turut diterapkan menerusi projek Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, yang dijangka boleh digunakan menjelang suku pertama tahun depan.
Selain itu ujarnya, kerjasama dengan syarikat penyedia ART dari China serta Universiti Fudan turut membuka ruang latihan teknologi berkenaan kepada anak Sarawak melalui institusi tempatan, i-CATS.
Pendekatan itu penting bagi menyediakan tenaga kerja tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menyokong pengurusan serta penyelenggaraan teknologi tenaga dan pengangkutan baharu.
Dalam masa sama, Datuk Dr Hazland berkata kecekapan tenaga turut menjadi antara strategi utama peralihan tenaga Sarawak, termasuk melalui peningkatan kecekapan bangunan, perubahan sistem mobiliti dan penggunaan sistem penyejukan daerah.
Menurut beliau, perubahan sistem mobiliti dan pengangkutan berpotensi menjimatkan antara 20 hingga 30 peratus penggunaan tenaga, sekali gus menjadikan kecekapan tenaga antara pendekatan penting dalam melaksanakan peralihan tenaga.
Datuk Dr Hazland berkata Sarawak mempunyai pelan hala tuju bagi agenda peralihan tenaga dan yakin usaha tersebut dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.-EDISI UKAS