Sarawak Teroka Kerjasama Strategik Dengan Samsung Dalam Teknologi Sukan
KUALA LUMPUR: Sarawak meneroka potensi kerjasama strategik dengan Samsung Malaysia bagi memanfaatkan teknologi terkini untuk memenuhi pelbagai keperluan termasuk dalam bidang sukan khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, lawatan penanda aras ke Samsung Malaysia memberi peluang untuk melihat perkembangan teknologi terbaharu selain memperluas jaringan kerjasama dengan syarikat teknologi berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama strategik itu penting bagi memastikan Sarawak terus mengikuti perkembangan teknologi semasa serta memperoleh penyelesaian teknologi yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
“Kita ingin dapat menggunakan teknologi yang terkini supaya tidak ketinggalan. Kita lebih lagi kolaborasi sebagai rakan strategik. Ini dapat memberi solusi yang lebih baik untuk keperluan-keperluan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UKAS semasa mengadakan lawatan penanda aras teknologi ke Samsung Malaysia di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Mu’azamir Jili, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Operasi Samsung Malaysia, Gabzel Kim, Ketua Bahagian MX (Peranti Mudah Alih), Jack Lim, Ketua Bahagian Penyelesaian Paparan, Wong Chung Hau, Ketua Bahagian Penyaman Udara, Chew dan Pengurus Kanan Bahagian Penyaman Udara, Vincent Looi.
Datuk Gerald menambah, antara bidang yang turut diberi perhatian ialah potensi penggunaan teknologi dalam pembangunan dan pengurusan kemudahan sukan, khususnya sebagai persediaan menjelang Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Sarawak sebagai antara tuan rumah, termasuk bagi upacara pembukaan temasya berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Samsung Malaysia atas kesediaan berkongsi kepakaran serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas.-EDISI UKAS