![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
MIRI: Sebanyak 79 kes perceraian tertunggak direkodkan di bawah Pejabat Pendaftar Daerah Miri setakat 28 September ini, dengan usaha mempercepatkan penyelesaian kes terus diperkukuh.
Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Datu Johnathan Lugoh berkata, antara cabaran utama ialah pihak yang terlibat tidak hadir atau sukar dikesan selepas kes didaftarkan sehingga menyebabkan prosiding tidak dapat diteruskan.
Menurutnya, kes yang dikendalikan dengan teratur boleh diselesaikan dalam tempoh sehingga setahun, namun sesetengah kes mengambil masa lebih lama bergantung kepada keadaan dan kehadiran pihak terlibat.
“Pegawai Pengetua dan Pengapit akan diperkasakan untuk membantu menyelesaikan pertikaian adat pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan beban kes di mahkamah dan mempercepatkan penyampaian keadilan kepada masyarakat.
“Melalui pendekatan ini, kita berharap lebih banyak kes dapat diselesaikan di peringkat awal tanpa perlu melalui proses perbicaraan yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Berkenaan Penyelesaian Kes Tertunggak (Perceraian) di Chief’s Court Daerah Miri, pada Selasa.
Datu Johnathan berkata, sesi libat urus berkenaan bertujuan mengenal pasti punca kelewatan serta merangka strategi bagi mempercepatkan penyelesaian kes melalui kerjasama pegawai mahkamah, Pegawai Pengetua dan Pengapit serta pihak berkaitan.
Ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas sesi berkenaan, beliau memaklumkan, kes perceraian dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin turut menunjukkan trend peningkatan, dengan faktor perkahwinan pada usia muda tanpa pemahaman menyeluruh mengenai tanggungjawab rumah tangga antara yang dikenal pasti.
Katanya, secara keseluruhan, kebanyakan kes perceraian melibatkan pasangan berusia sekitar 30 tahun yang telah berkahwin antara tiga hingga lima tahun.
Menurut beliau, Sibu merupakan bahagian yang merekodkan jumlah kes perceraian tertinggi, diikuti Bintulu, Miri dan Serian.
Hadir sama Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera, Gabriel Gumis Humen, wakil Pegawai Daerah Miri, Aqma Syairah Syafiqah Md Zaidi, Mahkamah Bumiputera Residen, Baweng Tajang dan Ignatius Melaka Nisau, Temenggong Boniface Bada Enjah serta Pemanca Isut Karin.-EDISI UKAS