![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Stadium Taha Ariffin kini berada di landasan untuk menjadi gelanggang rasmi Kuching City FC (KCFC) bagi saingan ASEAN Club Championship Shopee Cup dan AFC Champions League Two selepas menerima kelulusan bersyarat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Eksekutif KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kelulusan itu diberikan selepas pemeriksaan tapak oleh AFC dan FAM pada 23 September lalu, dengan beberapa keperluan masih perlu diselesaikan pihak berkaitan.
Menurutnya, dua perkara utama yang masih dalam proses ialah pemasangan lampu stadium dan penyediaan bilik siaran (broadcast room), manakala beberapa keperluan kecil lain boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Kerja-kerja lampu sudah 90 peratus dan kita yakin ia dapat digunakan sebelum 7 Oktober, manakala untuk broadcast room kita akan berbincang dengan pihak Sarawak Sports Corporation (SSC) bagi memastikan ia dapat disediakan,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata kelulusan berkenaan hasil kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, SSC dan KCFC menerusi pelaksanaan sebahagian daripada peruntukan RM7 juta bagi kerja penambahbaikan stadium.
Dato Fazzrudin berkata antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk pemasangan kerusi bernombor, penyediaan bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat, bilik pengadil serta bilik pegawai perlawanan selain penambahbaikan surau, tandas, pencahayaan dan aspek keselamatan penonton.
“Dengan siapnya keseluruhan kerusi, stadium ini boleh menempatkan 17,584 penonton.
“Kerusi bernombor ini merupakan sesuatu yang baharu kepada penyokong kita yang sebelum ini biasa dengan sistem tempat duduk bebas. Sebab itu kita gunakan perlawanan persahabatan dengan Sabah untuk membiasakan mereka dengan sistem sektor dan tempat duduk yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, KCFC turut memperkemas aspek keselamatan dengan meningkatkan jumlah marshal dan anggota keselamatan bagi menghadapi jumlah penonton yang lebih besar serta suasana perlawanan berintensiti tinggi.
Jelasnya, pasukan keselamatan KCFC juga telah dihantar ke beberapa perlawanan di luar Kuching bagi mempelajari pengurusan keselamatan stadium daripada pihak yang lebih berpengalaman.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan KCFC turut memberi perhatian kepada pengurusan penjaja di sekitar stadium bagi memastikan aktiviti ekonomi pada hari perlawanan dapat berjalan dalam keadaan teratur dan mematuhi keperluan AFC.
Katanya, pendekatan itu penting memandangkan penganjuran perlawanan antarabangsa bukan hanya melibatkan pasukan dan penyokong, malah turut membabitkan pegawai pertandingan, penaja, pasukan pelawat serta rombongan lain.
“Kita bukan sahaja mahu Kuching City maju ke hadapan, tetapi mahu membawa bersama seluruh ekosistem pada hari perlawanan, termasuk penjaja di luar stadium.
“Kita mahu mereka ditempatkan di kawasan yang selesa, teratur dan menepati syarat yang ditetapkan AFC,” katanya.
Beliau berkata Stadium Taha Ariffin bakal menyaksikan kehadiran pasukan dari beberapa negara termasuk Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Kemboja apabila KCFC beraksi dalam saingan antarabangsa.
Dato Fazzrudin turut menyeru penyokong memberi kerjasama dalam mematuhi sistem kemasukan dan tempat duduk serta menjaga kebersihan dan kemudahan stadium bagi memastikan gelanggang berkenaan dapat terus digunakan sebagai gelanggang sendiri KCFC. -EDISI UKAS