![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) menyasarkan seramai 1,000 graduan Sarawak menyertai Graduate Enhancement Training Sarawak Work Readiness Programme (GETS-WRP) bagi Kohort 6 yang akan bermula Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim berkata, permohonan bagi program berkenaan dibuka secara berterusan tanpa tarikh tutup khusus, termasuk kepada graduan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menurut beliau, syarat kemasukan adalah terdiri daripada anak Sarawak yang telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah dengan memperoleh sekurang-kurangnya CGPA 2.8 serta berumur tidak melebihi 30 tahun.
“Peserta mestilah graduan yang pertama kali menyertai GETS-WRP dan bukan peserta yang pernah mengikuti program ini sebelum ini,” katanya dalam temubual khas bersama UKAS di SCOPE Sarawak pada Selasa.
Beliau berkata, GETS-WRP mempunyai dua fasa utama iaitu fasa pertama selama tiga bulan yang memberi tumpuan kepada latihan peningkatan kerjaya, manakala fasa kedua melibatkan penempatan industri selama sembilan bulan.
Katanya, latihan tiga bulan tersebut merangkumi aspek seperti kecerdasan emosi, penyediaan resume dan CV, komunikasi dengan majikan serta persediaan menghadiri temu duga, selain modul yang sentiasa disemak bagi merapatkan jurang antara akademik dengan keperluan industri.
“Selepas tiga bulan latihan, graduan akan melalui proses temu duga bersama majikan sebelum ditempatkan di syarikat swasta atau kerajaan. Proses ini merupakan simulasi bagaimana mereka mencari pekerjaan,” jelasnya.
Joseph berkata, SCOPE kini mempunyai lebih 80 rakan strategik daripada sektor swasta dan kerajaan, dan jumlah tersebut masih berkembang bagi menyediakan peluang penempatan kepada peserta GETS-WRP.
Beliau menambah, sekiranya terdapat kekosongan jawatan tetap atau kontrak dalam tempoh penempatan sembilan bulan, majikan berpeluang menyerap graduan sebagai pekerja sepenuh masa.
Bagi kadar pekerjaan pula, Joseph berkata, kohort Januari dan Februari 2025 mencatatkan kadar pekerjaan sebanyak 61 peratus, namun SCOPE menyasarkan peningkatan kepada sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus pada masa akan datang.
Menurut beliau, SCOPE turut mendapatkan maklum balas daripada industri bagi memastikan modul latihan sentiasa relevan dengan keperluan semasa, termasuk aspek komunikasi, kecerdasan emosi, kerja berpasukan, pembentangan dan kemahiran menulis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada graduan untuk tidak terlalu memilih pekerjaan pertama yang diperoleh kerana pengalaman tersebut boleh menjadi batu loncatan untuk membina kemahiran dan mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan.
“Tidak semestinya graduan yang mengambil sesuatu bidang pengajian akan mendapat pekerjaan yang sama bidang. Pekerjaan pertama boleh menjadi batu loncatan untuk membina pengalaman dan kemahiran sebelum bergerak kepada prospek yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menggalakkan graduan yang berminat menyertai GETS-WRP supaya mendapatkan maklumat dan membuat permohonan melalui laman sesawang serta media sosial SCOPE, selain saluran kerjasama dengan universiti, program Sarawakku Sayang dan MYFutureJobs PERKESO.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada UKAS atas sokongan berterusan dalam membantu menghebahkan GETS-WRP kepada graduan Sarawak serta menggalakkan lebih ramai graduan memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi program tersebut.- EDISI UKAS