Pink Dumbbell Run 2027 Tawar Dua Kategori Larian, Pendaftaran Dibuka Sekarang
KUCHING: Pink Dumbbell Run 2027 yang akan berlangsung pada 21 Mac tahun depan menawarkan dua kategori larian, iaitu 3 kilometer (KM) dan 5KM, dengan pendaftaran dibuka sehingga 21 Februari 2027.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama ahli penganjur dari Persatuan Bina Badan Sarawak, di sini hari ini.
Katanya, acara akan bermula jam 6 pagi di Foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dengan matlamat menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong pembangunan atlet bina badan Sarawak.
Berteraskan tema “Strong Body, Strong Mind, Beautiful You”, acara berkenaan menyasarkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur menerusi aktiviti kecergasan berkonsepkan komuniti.
Selain larian, peserta turut berpeluang menyertai lima Mini Gym Challenges anjuran Turbo Fitness, merangkumi Push-Up, Pull-Up, Dead Hang, Squat dan Plank Challenge.
Acara tersebut turut menjadi platform bagi membantu menampung kos operasi dan penyertaan atlet bina badan Sarawak ke kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak, Dr Malvern Abdullah berkata, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu atlet Sarawak mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi di pentas pertandingan berprestij.
Pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Ke-58 2026 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, atlet Sarawak, Siti Hadjar Mansur Awang Hitam meraih pingat emas dalam kategori Bina Badan Wanita Senior sehingga 55 kilogram (kg).
Sementara itu, Azri Asmat Sefri menduduki tempat keempat dalam kategori Bina Badan Lelaki Senior sehingga 60kg.
Penganjur menyediakan pakej penyertaan dengan yuran antara RM15 hingga RM55, termasuk baju-T rasmi acara, pingat penamat, nombor bib dan cabutan bertuah.-EDISI UKAS