3,000 Anak Ikan Tengadak Dilepaskan Ke Sungai Debpur Menerusi Projek Sistem Tagang
BARIO: Sebanyak 3,000 ekor anak ikan tengadak (Barbonymus schwanenfeldii) dilepaskan ke Sungai Debpur, Kampung Pa Umor di sini menerusi Projek Sistem Tagang bagi meningkatkan populasi ikan serta memulihara ekosistem sungai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, projek itu merupakan usaha pemuliharaan sumber perikanan yang turut melibatkan komuniti dalam menjaga kelestarian sungai.
“Sistem Tagang dapat membentuk tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Projek Sistem Tagang di Sungai Debpur, Kampung Pa Umor, Bario pada Selasa.
Datuk Gerawat berharap komuniti Kampung Pa Umor serta penduduk di sepanjang Sungai Debpur terus memberikan komitmen dalam menjaga kawasan Tagang tersebut agar usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Pertanian Sarawak dalam menjayakan inisiatif itu.
Terdahulu, Pengurus Besar SFC merangkap Controller Taman Negara dan Rizab Semula Jadi Sarawak serta Controller Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran dalam ucapan aluannya berkata, Sungai Debpur dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik serta mempunyai lubuk ikan yang dalam dan sesuai untuk pembiakan ikan serta pengekalan populasi akuatik secara semula jadi.
Beliau berkata, pelaksanaan Sistem Tagang itu turut selaras dengan projek SFC di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), menerusi Fokus 35.1: Pelaksanaan Program Ekonomi Berasaskan Komuniti.- EDISI UKAS