UKAS Perkasa Komunikasi Kreatif Menerusi Lagu ‘UKAS Setia Berbakti’
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkasa pendekatan komunikasi awam dengan meneroka medium kreatif dan teknologi baharu menerusi penghasilan lagu rasmi berjudul ‘UKAS Setia Berbakti’.
Bukan sekadar wadah untuk memperkenalkan identiti dan peranan UKAS, lagu tersebut malah mengangkat mesej kesetiaan kepada Sarawak, semangat perpaduan serta komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Menariknya, penghasilan lagu tersebut turut menggabungkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam aspek gubahan muzik, susunan vokal dan penerbitan audio, sekali gus memperlihatkan bagaimana teknologi digital boleh dimanfaatkan dalam penyampaian komunikasi awam secara lebih kreatif dan dekat dengan masyarakat.
Lirik lagu itu merupakan hasil ciptaan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol yang mengetengahkan identiti Sarawak serta aspirasi UKAS untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan, disiplin dan dedikasi.
Penggunaan AI dalam penghasilan karya berkenaan berperanan sebagai teknologi sokongan atau ‘’AI-assisted’ dalam memperkemas elemen muzik dan vokal, manakala kandungan serta mesej utama lagu kekal berteraskan ilham dan identiti tempatan.
Antara mesej yang diketengahkan ialah kepelbagaian masyarakat Sarawak yang hidup dalam keharmonian, tanggungjawab untuk menjaga perpaduan serta kepentingan mengutamakan Sarawak dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Semangat tersebut turut diterjemahkan menerusi seruan agar masyarakat terus memelihara keharmonian, mengelakkan prasangka dan memperkukuh semangat ‘Sarawak First’ serta konsep ‘Segulai Sejalai’.
Penghasilan lagu ‘UKAS Setia Berbakti’ sekali gus mencerminkan pendekatan komunikasi yang tidak terhad kepada penyampaian maklumat secara konvensional, sebaliknya turut memanfaatkan seni, kreativiti dan teknologi digital sebagai medium untuk mendekati masyarakat. -EDISI UKAS