Bantuan Pendidikan Ringankan Kos Pengajian Pelajar Bidang Kreatif
ASAJAYA: Bantuan kewangan kerajaan dilihat mampu meringankan beban keluarga dalam menampung kos pengajian tinggi, khususnya bagi pelajar yang mengikuti bidang kreatif yang memerlukan peralatan dan bahan pembelajaran khusus.
Perkara itu dizahirkan pasangan kembar dari Serpan Laut, Alya Iwanina Isa dan Alya Imanina Isa, yang kini mengikuti pengajian Tahun 1 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Alya Iwanina mengikuti pengajian dalam bidang Design Technology, manakala Alya Imanina mengambil bidang Cinematography di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK).
Menurut mereka, bantuan kewangan yang diterima amat bermakna kerana sebahagian besar kos pengajian dalam bidang seni kreatif melibatkan keperluan seperti peranti komputer, peralatan seni dan bahan projek kuliah.
“Inisiatif ini amat membantu dan meringankan beban kewangan keluarga kami, terutamanya bagi menampung kos perkakasan serta bahan pengajian yang tinggi,” kata mereka.
Anak kepada pasangan pesara guru, Isa bin Kotot dan Saanah binti Ili itu turut berharap bantuan pendidikan sedemikian dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai anak tempatan berpeluang melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani kos kewangan.
Penyerahan insentif disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya di sini pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau menggesa para pelajar supaya terus berusaha gigih dalam pengajian selain memanfaatkan bantuan yang diterima sebaik mungkin.
Beliau turut berharap kejayaan pelajar berkenaan dapat menjadi dorongan kepada generasi muda lain di kawasan Asajaya untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan komuniti serta negeri.-EDISI UKAS