ASAJAYA: Seramai 128 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, sekali gus mencerminkan pencapaian pendidikan yang terus berkembang dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu amat membanggakan meskipun pihak sekolah masih berdepan beberapa kekangan dari aspek prasarana.
Daripada jumlah tersebut, 21 pelajar merupakan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 107 lagi lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menurutnya, kejayaan berkenaan tidak hanya mencerminkan usaha pelajar, malah hasil komitmen guru, pentadbir sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkukuh.
“Apabila kita mendapat sijil daripada universiti, itu hanyalah satu platform untuk kita pergi lebih jauh. Selepas itu, kejayaan bergantung kepada bagaimana kita membawa diri, membina jaringan, bergaul dengan masyarakat dan menggunakan ilmu yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut menzahirkan penghargaan terhadap dua pelajar SMK Asajaya yang berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan robotik peringkat dunia di Hyderabad, India.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan pihak sekolah, malah turut mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan pelajar perlu disokong dengan pembangunan keterampilan diri, kemahiran insaniah, penglibatan dalam kokurikulum dan sukan serta keupayaan membina jaringan yang baik.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan kepada kesemua 128 pelajar bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sebelum mereka memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi.-EDISI UKAS