Lima Projek Infrastruktur Senadin Dipercepat, Pelaksanaan Disasar Tahun Depan
MIRI: Beberapa projek menaik taraf jalan raya dan persimpangan di Miri dijangka mula dilaksanakan tahun depan selepas proses reka bentuk dan kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) diselesaikan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, antara projek berkenaan termasuk menaik taraf Jalan Cahaya dari Borneo Medical Centre (BMC) ke Hospital Miri, Jalan Padang Kerbau dan Jalan Canada Hill.
Menurutnya, terdapat tiga jalan yang telah diminta untuk dinaik taraf dengan Jalan Cahaya dan Jalan Padang Kerbau dicadangkan untuk dinaik taraf kepada jalan berkembar berikutan jumlah trafik yang tinggi.
“Terdapat tiga jalan yang telah saya minta untuk dinaik taraf. Salah satunya ialah jalan di sepanjang Jalan Cahaya, dari BMC ke hospital. Jalan tersebut merupakan jalan yang sangat sibuk dan perlu dinaik taraf menjadi jalan berkembar,” katanya pada sidang media Taklimat Projek (RMK) Projek Jalan Negeri di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Jalan Padang Kerbau yang menuju ke Hospital Miri juga mempunyai aliran trafik yang tinggi dan memerlukan peningkatan kapasiti jalan.
Manakala projek menaik taraf Jalan Canada Hill turut diberi perhatian berikutan masalah hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan serta risiko hakisan serius yang boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan jalan.
Berdasarkan taklimat JKR, perunding bagi projek menaik taraf Jalan Cahaya dari BMC ke Hospital Miri telah dilantik, manakala reka bentuk terperinci telah disediakan dan kini menunggu proses pemuktamadan.
Bagi projek Jalan Padang Kerbau dan Jalan Canada Hill pula, reka bentuk awal masih dalam proses disediakan oleh perunding.
Dalam perkembangan sama, projek pemasangan lampu isyarat di persimpangan antara Jalan Miri Bypass dan Jalan Eastwood, kira-kira 2.1 kilometer dari persimpangan lampu isyarat Miri Bypass kini menunggu kelulusan reka bentuk daripada JKR.
Dato Sri Lee turut meminta JKR memberi keutamaan kepada pemasangan lampu isyarat di persimpangan menuju ke Borneo Medical Centre susulan kekerapan kemalangan yang berlaku di kawasan tersebut.
“Banyak kemalangan juga berlaku di situ dan saya memohon agar JKR menjadikannya satu keutamaan. Ini kerana persimpangan tersebut pada masa ini tidak mempunyai lampu isyarat dan hanya merupakan persimpangan untuk membelok masuk ke Borneo Medical,” katanya.
Selain projek jalan dan lampu isyarat, beliau berkata projek menaik taraf keseluruhan Sungai Tujoh yang telah lama diminta akhirnya mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dan kini JKR perlu menghalusi reka bentuk dengan lebih terperinci sebelum proses tender atau pelaksanaan projek dapat dimulakan.-EDISI UKAS