545 Murid SK Abang Aing Hayati Patriotisme Menerusi Pentarama Homecoming
SRI AMAN: Seramai 545 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing menyertai Program Pentarama Homecoming 2026 yang menggabungkan penghayatan patriotisme, perpaduan dan pendedahan literasi digital dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih memahami tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sri Aman dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Abang Aing serta rakan strategik itu berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, di sini, Rabu.
Guru Besar SK Abang Aing, Mohd Nurmisuari Qazreen Shamsuddin berkata, program tersebut menjadi platform untuk menyemai kecintaan kepada negara serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan murid, warga sekolah dan komuniti.
Katanya, pengisian program turut melengkapkan pelbagai aktiviti Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk pertandingan Topi Berhias, Swafoto Kemerdekaan, Mewarna, Busana Merdeka, Payung Berhias serta Keceriaan dan Kelas Kondusif bertemakan Kemerdekaan.
“Pada hari ini, kemuncaknya ialah persembahan artis Pentarama serta sesi ceramah daripada SKMM yang memberikan pendedahan dan pengalaman bermanfaat kepada para murid,” katanya.
Menurutnya, penghayatan kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui amalan saling menghormati, bertoleransi, bekerjasama, menjaga keharmonian serta menghargai kepelbagaian masyarakat, selaras dengan tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.
Beliau turut menyeru murid supaya menggunakan peluang berkenaan untuk mengenali sejarah negara, menghargai jasa pejuang kemerdekaan dan memahami peranan mereka sebagai generasi pewaris negara.
Selain 545 murid, program turut melibatkan 50 guru, 16 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), 10 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta tujuh pekerja swasta.
Program berkenaan turut menyaksikan persembahan artis Pentarama serta sesi ceramah oleh SKMM, sekali gus memberi pendekatan yang lebih dekat dan interaktif kepada murid dalam menghayati mesej patriotisme serta tanggungjawab sebagai pengguna media dan komunikasi. -EDISI UKAS