Mukah Giat Laksana Persiapan Akhir Malam Jalinan Perkhidmatan Awam
MUKAH: Persiapan akhir bagi menjayakan Malam Jalinan Perkhidmatan Awam Bahagian Mukah sempena Program Sarawakku Sayang 2026 kini giat dilaksanakan bagi memastikan kelancaran penganjuran program pada Khamis.
Pelbagai persiapan di lokasi kini memasuki peringkat akhir termasuk susun atur tempat, persediaan pentas, hiasan dan aspek teknikal bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis.
Program berkenaan bakal menghimpunkan warga perkhidmatan awam di Bahagian Mukah sebagai platform memperkukuh hubungan, kerjasama dan semangat kekitaan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Malam Jalinan Perkhidmatan Awam itu turut dijangka menyaksikan kehadiran Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai tetamu kehormat.
Penganjuran program tersebut mencerminkan usaha memperkukuh jalinan dalam kalangan warga perkhidmatan awam, di samping memupuk semangat kerja berpasukan dan kebersamaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.- EDISI UKAS