SEBUYAU: Keupayaan bekalan air di Sebangan dan kawasan sekitarnya diperkukuh menerusi Acute System Sebangan bernilai RM12 juta yang menyediakan kapasiti rawatan air sehingga lima juta liter sehari.
Projek yang siap sepenuhnya pada 24 Julai 2026 itu turut melibatkan pemasangan saluran paip baharu sepanjang kira-kira 11 kilometer bagi menghubungkan sistem tangki dan paip agihan sedia ada dari Loji Acute hingga ke Tangki Aras Tinggi Sebangan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemudahan berkenaan merupakan langkah penting dalam meningkatkan keupayaan sistem bekalan air bagi menampung permintaan penduduk yang semakin meningkat.
“Projek ini merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan keupayaan sistem bekalan air di kawasan Sebangan, selain membantu menangani isu bekalan air yang dihadapi penduduk dan menyediakan bekalan yang lebih stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Acute System Sebangan di Kampung Tungkah, di sini pada Rabu.
Projek yang mula dilaksanakan pada November 2025 itu dilaksanakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Dengan siap dan beroperasinya Acute System Sebangan, kemudahan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan bekalan air kepada penduduk luar bandar.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB Sarawak, Ts Aaron Garino, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dan Jurutera Air Bahagian Samarahan, Ts Adzahari Baini. -EDISI UKAS