Sembilan Kampung Di Serian Terima Manfaat Projek Naik Taraf Jalan Semeru-Kuhom
SERIAN: Projek menaik taraf Jalan Link Kampung Semeru-Kampung Kuhom bernilai RM95 juta bakal memperkukuh jaringan perhubungan sembilan kampung di kawasan Tebedu, sekali gus meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan dan aktiviti sosioekonomi setempat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merupakan antara pembangunan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi kawasan Tarat.
Projek sepanjang jajaran yang menghubungkan Kampung Semeru, Kampung Bukit Nanas, Kampung Plaman Dunuk, Kampung Senah Rayang, Kampung Padus Stubot, Kampung Bisira Rayang, Kampung Kuhom Mawang, Kampung Kuhom Mandeg dan Kampung Rudan itu dilaksanakan dalam tempoh kontrak 24 bulan.
Dato Sri Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA berkata, pelaksanaan projek perlu dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti kerja bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk dalam tempoh ditetapkan.
Beliau turut menyeru agensi berkaitan supaya menyelesaikan sebarang isu di peringkat jabatan dan lapangan dengan segera bagi mengelakkan kelewatan projek.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan sebanyak 19 projek bernilai RM180.9 juta bagi kawasan Tarat sedang dilaksanakan, dirancang atau mengikut jadual.
Daripada jumlah tersebut, satu projek bernilai RM2 juta telah siap, manakala empat projek bernilai RM126.8 juta kini mengikut jadual, melibatkan tiga projek oleh JKR dan satu projek oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Sebanyak 13 lagi projek bernilai RM51.25 juta masih dalam perancangan dengan melibatkan JKR, Majlis Daerah Serian, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datuk Ik Pahon Joyik, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar dan Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari. -EDISI UKAS