BINTULU: Kejayaan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) perlu diukur berdasarkan hasil yang dicapai, khususnya dari segi kebolehpasaran graduan, pengurangan pekerjaan tidak setara dan peningkatan pendapatan median graduan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) FTES tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah perbelanjaan atau bilangan graduan yang dihasilkan.
Sebaliknya katanya, KPI berkenaan perlu turut melihat sama ada graduan mendapat pekerjaan, kadar pekerjaan tidak setara berkurangan, pendapatan median graduan meningkat, bakat dapat dikekalkan di Sarawak serta kemahiran mereka memenuhi keperluan ekonomi negeri pada masa hadapan.
“Lebih penting, KPI kita perlu berdasarkan hasil skim ini, iaitu sama ada graduan mendapat pekerjaan, pengurangan ‘underemployment’, peningkatan pendapatan median dan kemampuan mengekalkan bakat di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan The Workshop Developing Future-Ready Talent for Future High Technology Economy di Hotel Parkcity Everly, Bintulu pada Selasa.
Datuk Dr Annuar memberitahu, FTES yang masih berada pada peringkat awal memberi ruang untuk kerajaan, institusi pendidikan dan industri membangunkan program lebih menyeluruh bagi memastikan pelaburan dalam pendidikan tinggi memberi impak kepada ekonomi Sarawak.
Katanya, pendedahan kepada industri perlu diberikan kepada pelajar seawal tahun pertama pengajian dan tidak hanya ketika menghampiri tamat pengajian.
“Pelajar kejuruteraan elektrik, contohnya, perlu didedahkan kepada persekitaran kejuruteraan elektrik sejak awal pengajian supaya mereka lebih bersedia apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerjasama lebih erat antara industri dan institusi pengajian tinggi melalui penubuhan makmal bersama, penglibatan industri dalam pengajaran serta penyelidikan berasaskan masalah sebenar industri.
Menurutnya, pendekatan itu dapat membantu memperkukuh kemahiran praktikal pelajar selain memberi peluang kepada pensyarah mengikuti perkembangan teknologi baharu yang digunakan dalam industri.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan pewujudan Sarawak Industry Talent Gap Program bagi menangani jurang bakat dan meningkatkan kesediaan graduan memasuki industri.
Katanya, program itu boleh dibangunkan mengikut kluster industri dan dilaksanakan bersama empat universiti di Sarawak bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan yang bersesuaian serta mampu menyumbang kepada ekonomi negeri.
Sementara itu katanya, isu elaun pelajar ketika menjalani latihan industri juga perlu diberi perhatian khususnya bagi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, perkara itu perlu diteliti supaya pelajar tidak berdepan kekangan kewangan ketika menjalani latihan industri, termasuk kemungkinan memasukkan bantuan berkenaan dalam FTES.
Beliau berkata, industri juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan bentuk elaun atau sokongan kepada pelajar yang menjalani latihan di organisasi masing-masing.
Menurutnya, kerjasama bersepadu antara kerajaan, institusi pendidikan dan industri penting bagi memastikan graduan FTES bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai kemahiran, sikap dan pengalaman yang diperlukan pasaran pekerjaan.
Beliau berharap hasil perbincangan bengkel berkenaan dapat diterjemahkan kepada program konkrit bagi memperkukuh persediaan graduan Sarawak menghadapi keperluan industri pada masa hadapan.-EDISI UKAS