RM1.48 Juta Diluluskan Untuk Pembaikan Benteng Lapan Rumah di Hilltop Garden
MIRI: Sejumlah RM1.48 juta peruntukan diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan benteng, pagar dan struktur saliran yang melibatkan lapan buah rumah di Hilltop Garden di sini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerja-kerja pembaikan bagi tiga buah rumah kini mencapai kemajuan 27 peratus selepas dimulakan pada Jun lalu.
Menurut beliau, projek tersebut melibatkan pembinaan semula benteng yang runtuh serta kerja-kerja berkaitan struktur sanitasi dan saliran konkrit bertetulang di Lot 257, 258 dan 259.
“Kerja telah pun dijalankan dengan baik dan kini 27 peratus siap. Kerja ini bermula pada bulan Jun dan mengikut jadual dijangka siap pada bulan Jun tahun depan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan projek tersebut di sini pada Rabu.
Beliau berkata peruntukan RM480,000 bagi kerja-kerja pembaikan tiga buah rumah berkenaan diperoleh melalui Dana Kecemasan Bencana yang dipohon daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagaimanapun, beliau berkata pihak JKR mungkin dapat menyiapkan projek tersebut lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Dalam pada itu, hasil lawatan susulan mendapati lima buah rumah lagi menghadapi masalah sama susulan kejadian banjir pada awal tahun ini.
“Jadi, lima buah rumah menghadapi risiko yang sama, iaitu benteng, pagar dan struktur saliran yang juga nampaknya telah runtuh,” katanya.
Katanya, JKR telah membuat anggaran kos dan tambahan peruntukan kira-kira RM1 juta diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan melibatkan lima buah rumah berkenaan.
Menurutnya, peruntukan tambahan tersebut telah diluluskan di bawah dana berkenaan, manakala JKR kini sedang menyediakan reka bentuk sebelum projek dilaksanakan.
“Apabila lima buah rumah itu termasuk tiga buah dalam projek, keseluruhan lapan buah rumah dalam satu deret ini, masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Secara keseluruhannya, projek pembaikan melibatkan tiga buah rumah menelan kos RM480,000, manakala tambahan RM1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan lima buah rumah lagi.-EDISI UKAS