Hospital Miri, Novo Nordisk Meterai MoU Perkukuh Penyelidikan Klinikal
MIRI: Hospital Miri terus memperkukuh kapasiti penyelidikan klinikal bagi memperluas akses pesakit di Miri dan utara Sarawak kepada pilihan rawatan serta perkembangan perubatan terkini menerusi kerjasama strategik bersama Novo Nordisk Pharma (Malaysia).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hospital Miri dan Novo Nordisk Pharma (Malaysia) pada Majlis Menandatangani MoU Kerjasama Strategik di Hospital Miri, pada Rabu.
Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu berkata, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Miri yang ditubuhkan pada Februari 2012.
Menurut beliau, CRC Hospital Miri pada peringkat awal beroperasi dalam ruang yang kecil dengan kemudahan dan peralatan terhad sebelum berkembang secara berperingkat menerusi pembangunan tenaga kerja, peningkatan latihan serta pengukuhan keyakinan dalam kalangan petugas kesihatan dan pihak industri terhadap keupayaan hospital dalam bidang penyelidikan klinikal.
Katanya, peningkatan aktiviti penyelidikan turut menyaksikan Hospital Miri mengamalkan pendekatan mesra kajian klinikal dengan menilai setiap peluang kajian berdasarkan kesesuaian dan keupayaan hospital untuk melaksanakannya.
“Kerjasama strategik bersama Novo Nordisk merupakan satu lagi pencapaian penting, khususnya selepas Hospital Miri sebelum ini diberi peluang menyertai kajian klinikal anjuran syarikat berkenaan.
“Pemilihan Hospital Miri sebagai tapak pertama dalam kalangan hospital kerajaan di Malaysia bagi kerjasama strategik ini juga merupakan satu bentuk kepercayaan terhadap keupayaan pasukan hospital,” katanya.
Melalui MoU berkenaan, Hospital Miri dan Novo Nordisk akan memperluas peluang Sarawak menyertai kajian klinikal global, meningkatkan pendedahan profesional kesihatan tempatan kepada perkembangan saintifik serta membangunkan infrastruktur dan bakat penyelidikan secara mampan.
Kerjasama itu turut meliputi bidang penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, obesiti, penyakit kardiovaskular dan buah pinggang kronik.
Dr. Jack berharap kerjasama berkenaan dapat membawa Hospital Miri ke tahap seterusnya dalam penyelidikan klinikal melalui peningkatan keupayaan melaksanakan kajian berkualiti tinggi, pembangunan lebih ramai penyelidik dan tenaga penyelidikan serta pembentukan infrastruktur penyelidikan yang lebih kukuh dan mampan.-EDISI UKAS