269 Murid Tahun 6 Sebuyau Terima Sokongan Akademik Hadapi UP-DLP
SEBUYAU: Seramai 269 murid Tahun 6 daripada 19 sekolah rendah di Zon Sebuyau dan Zon Sebangan menerima sokongan akademik dan motivasi menerusi Program Pemerkasaan Kecemerlangan UP-DLP Sarawak Sebuyau 2026 sebagai persediaan menghadapi Ujian Penilaian Dwi Bahasa (UP-DLP) Sarawak 2026.
Program anjuran Biro Pendidikan Parti Pesaka Bumiputera Bersati (PBB) Cawangan Sebuyau bersama Majlis Guru Besar Zon Sebuyau dan Zon Sebangan itu memberi tumpuan kepada penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik selain membimbing murid menguasai teknik menjawab soalan dengan lebih tepat dan berkesan.
Daripada jumlah berkenaan, 140 murid merupakan peserta dari Zon Sebuyau manakala 129 murid dari Zon Sebangan, melibatkan 19 sekolah rendah termasuk dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Program berkenaan turut memberi penekanan terhadap aspek motivasi dan keyakinan diri bagi membantu murid menghadapi peperiksaan dengan persediaan yang lebih menyeluruh.
Selain bimbingan akademik, pengisian turut merangkumi ceramah keibubapaan dan motivasi murid Tahun 6 yang disampaikan oleh Pengasas N.R Bizline Training & Consultancy, Muhammad Nasrullah Zainal Abidin.
Pendekatan berkenaan turut membuka ruang kepada ibu bapa untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan mereka dalam menyokong pembelajaran anak-anak, khususnya dalam tempoh persediaan menghadapi peperiksaan.
Program turut melibatkan kerjasama guru besar, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat bagi mewujudkan sokongan yang lebih menyeluruh terhadap perkembangan akademik murid.
Pada majlis kemuncak di Dewan Pembangunan Sebuyau, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi turut hadir menyaksikan pengisian program dan penyerahan Modul UP-DLP Sebuyau 2026.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Zon Sebangan, Tamizi Karem dan Naib Pengerusi MGB Zon Sebuyau, Loh Boon Piaw. -EDISI UKAS