KUCHING: Sarawak mencadangkan pembukaan sebuah pejabat Pejabat Perdagangan dan Pelancongan (STATO) di Abu Dhabi bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang tenaga solar dan industri gas dengan pihak Abu Dhabi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan tersebut melibatkan pengurusan bersama oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi menguruskan projek yang bakal dilaksanakan di Sarawak.
“Ini masih di peringkat perancangan di mana kita ada berbincang dengan pihak Abu Dhabi untuk merapatkan lagi hubungan dan juga menguruskan cadangan projek di Sarawak.
“Maka, sudah tentu terdapat kerjasama antara kedua-dua pihak. Sebab itu ia akan diuruskan bersama oleh SEB sebagai syarikat kita yang menguruskan tenaga dan juga PETROS,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian ‘Sarawak Corporate Leadership Summit 2026’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Menurut Premier Sarawak, pejabat berkenaan akan menjadi platform kerjasama antara SEB sebagai syarikat yang menguruskan tenaga di Sarawak dan PETROS dalam menguruskan cadangan projek bersama pihak Abu Dhabi.
Jelas beliau, pelaksanaannya bergantung kepada perkembangan projek yang sedang dirancang di Sarawak dengan kini perlaksanaannya masih dalam kajian kebolehlaksanaan yang akan memakan masa selama setahun lebih.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak turut melihat potensi besar dalam pembangunan aktiviti hiliran industri gas menerusi kerjasama dengan Sakura dari Jepun, Air Liquide dan Indorama.
Katanya, antara potensi yang sedang diteroka termasuk penghasilan kain daripada gas serta proses kitar semula produk polimer berasaskan gas.
Menurut beliau, syarikat berkenaan kini bercadang menempatkan operasi di Bintulu dengan jumlah pelaburan mencecah USD1 bilion.
“Kita boleh membangunkan gas kita termasuklah untuk pakaian di antara teknologi ICAM yang diuruskan oleh syarikat bernama Sakura dengan ICAM, bersama dengan syarikat Indorama, di mana kita akan membangunkan aktiviti kilang bahan gas yang saya umumkan apabila saya berjumpa dengan mereka.
"Sekarang ini nak meletakkan syarikat itu operasinya di Bintulu dengan jumlah pelaburan USD 1 bilion dan ini adalah industri baru.
“Sebab itu saya rasa bahawa Sarawak mempunyai kekuatan dan juga ramuan untuk kita mentransformasikan kepada industri-industri yang maju baru,” ujarnya. -EDISI UKAS