Pengumpulan, Pendigitalan Sumber Sejarah Sarawak Perlu Diperhebat
KUCHING: Usaha mengumpul, mendigitalkan dan menerbitkan sumber sejarah Sarawak perlu dipergiat bagi memastikan khazanah sejarah negeri itu terus dipelihara serta dapat diakses oleh generasi akan datang.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengurusan sumber sejarah yang sistematik penting dalam memastikan fakta sejarah dapat diteliti berdasarkan sumber yang sahih, khususnya dalam era penyebaran maklumat yang pantas.
Menurut beliau, disiplin sejarah turut menuntut penelitian terhadap sumber sebelum sesuatu kesimpulan dibuat bagi memastikan tafsiran yang dikemukakan bersifat adil dan berasaskan bukti.
“Saya menyeru agar usaha pengumpulan, pendigitalan dan penerbitan sumber sejarah Sarawak diperhebatkan.
“Universiti, muzium, arkib, perpustakaan, sekolah, persatuan sejarah, badan kebudayaan, komuniti tempatan dan keluarga yang menyimpan dokumen lama hendaklah bekerjasama.
“Setiap surat lama, gambar lama, cerita tua dan manuskrip yang tersimpan mungkin mengandungi kunci kepada satu bab sejarah yang belum ditulis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Negarawan sempena Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2.0 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, pada Khamis.
Menurut Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, sejarah sebagai ilmu perlu dibezakan daripada sejarah sebagai memori kerana penelitian sejarah memerlukan penggunaan sumber, kaedah perbandingan, penelitian serta penafsiran yang tepat.
“Memori penting kerana ia menyimpan pengalaman hidup manusia. Namun, sejarah sebagai ilmu memerlukan sumber, kaedah perbandingan, penelitian dan penafsiran yang jujur lagi tepat. Di sinilah letaknya tanggungjawab besar ahli sejarah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya memainkan peranan dalam menulis, membaca dan mengajarkan sejarah Sarawak dengan penuh amanah bagi memastikan warisan sejarah negeri terus dipelihara dan difahami oleh generasi muda.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS