KUCHING: Sarawak perlu melihat melangkaui pasaran domestik dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya di Borneo serta hubungan dengan Indonesia, Brunei dan ASEAN bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi serantau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kedudukan Sarawak dalam rantau yang sedang berkembang membuka peluang dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, perdagangan, pelancongan, logistik, teknologi, pengeluaran makanan, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan digital.
Menurut beliau, Sarawak berada di lokasi strategik di Borneo, berhampiran Indonesia yang sedang membangunkan Nusantara di Kalimantan, selain berdekatan dengan Brunei dan menjadi sebahagian daripada ASEAN.
"Jadi, kita perlu melihat kedudukan Sarawak dari perspektif yang berbeza di mana kita berada di lokasi yang strategik dalam sebuah rantau yang sedang berkembang.
"Oleh itu, keadaan ini mewujudkan pelbagai peluang," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian ‘Sarawak Corporate Leadership Summit 2026’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, syarikat Sarawak juga perlu mengubah cara berfikir dengan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan, sebaliknya meneroka peluang untuk menembusi pasaran serantau.
Tambahnya, perkembangan ekonomi digital turut membuka ruang kepada syarikat Sarawak untuk meluaskan pasaran tanpa terlalu dibatasi faktor geografi seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kesalinghubungan fizikal, digital, udara dan tenaga yang kukuh juga penting bagi membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara berkesan dalam ekonomi serantau.
Ujarnya, kesalinghubungan bukan sekadar mengenai infrastruktur tetapi apakah hasil yang dapat diperoleh daripada pembinaan infrastruktur yang dijalankan.
"Oleh itu, apabila kita mempertimbangkan pelaburan infrastruktur, kita perlu melihat melangkaui kos segera dan bertanya apakah yang boleh dijana olehnya dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang.
"Apakah industri yang boleh dibangunkan? Apakah komuniti yang boleh dihubungkan? Apakah peluang yang boleh diwujudkan?
"Beginilah cara kita perlu berfikir mengenai pembangunan jangka panjang," jelas beliau. -EDISI UKAS