Arkib Negara Perlu Melangkah Ke Era Baharu, Merakyatkan Sejarah
KUCHING: Arkib Negara Malaysia perlu melangkah ke era baharu dengan memperluas peranannya daripada sekadar menyimpan khazanah sejarah kepada usaha merakyatkan sejarah supaya dapat diakses, difahami dan dihayati masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan sejarah terus menjadi memori kolektif yang menghubungkan generasi serta menyokong usaha pembinaan negara bangsa.
“Sudah tiba masanya Arkib Negara Malaysia melangkah ke era baharu kerelevanan daripada sekadar menyimpan sejarah kepada merakyatkan sejarah kerana arkib yang hidup ialah arkib yang boleh diakses, difahami dan dimiliki bersama oleh rakyat.
“Pendekatan sebegini selari dengan perkembangan antarabangsa yang semakin menekankan akses digital dan penglibatan masyarakat dalam menghayati khazanah sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Syarahan Negarawan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Wisma Melayu Sarawak, di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Aaron, sejarah merupakan asas pembinaan negara bangsa yang bukan sahaja terbina melalui perkongsian wilayah, tetapi turut berasaskan rasa kebersamaan, nilai dan cita-cita yang dikongsi.
Dalam konteks Malaysia, katanya, pembinaan negara bangsa berakar daripada sejarah serta kepelbagaian identiti dan pengalaman bersama, termasuk sejarah dan identiti tersendiri Sarawak serta pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman terhadap sejarah Malaysia penting bagi membolehkan masyarakat menghargai perbezaan akar sejarah serta mengenal pasti persamaan yang menyatukan rakyat sebagai satu negara dan bangsa Malaysia.
Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperluas ruang wacana mengenai sejarah dan pembinaan negara bangsa, termasuk melalui Persidangan Negara Bangsa yang dijadualkan berlangsung pada 30 November 2026, selain memperkasa akses digital dan penglibatan masyarakat dalam menghayati khazanah sejarah.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS