17,000 Tukun Tiruan Perkukuh Sumber Perikanan Sarawak
TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha memperkukuh sumber perikanan negeri melalui penempatan tukun tiruan sebagai habitat baharu hidupan marin.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata inisiatif berkenaan turut memberi kesan positif terhadap hasil tangkapan nelayan di beberapa kawasan perairan Sarawak.
Menurutnya, peningkatan hasil tangkapan telah direkodkan di kawasan seperti Belawai, Pulau Bruit, Lundu, Kabong, Sebuyau dan Mukah selepas pelaksanaan projek tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar peningkatan aktiviti perikanan sentiasa disertai kaedah penangkapan yang bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungan sumber marin.
“Dalam kita berusaha meningkatkan hasil perikanan, penangkapan perlu dilakukan secara lestari supaya sumber ini dapat terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan di Kompleks Industri Perabot Pusaka Tanjung Manis (KIPPTM), di sini, pada Selasa.
Katanya, sehingga kini hampir 17,000 unit tukun tiruan telah ditempatkan di sepanjang kira-kira 740 kilometer perairan Sarawak merangkumi kawasan dari Tanjung Datu hingga Lawas.
Inisiatif tersebut melibatkan peruntukan hampir RM100 juta dan dilaksanakan menerusi dua fasa bagi memperkukuh habitat marin serta membuka peluang ekonomi berkaitan sektor perikanan.
Jelasnya, fasa pertama yang menelan kira-kira RM70 juta memberi fokus kepada pembangunan kawasan pembiakan dan perlindungan hidupan marin.
Sementara itu, fasa kedua memperluas manfaat projek melalui aktiviti ekonomi seperti penanaman karang yang mempunyai potensi komersial, di samping menggalakkan penglibatan masyarakat setempat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pemuliharaan ekosistem pesisir termasuk kawasan hutan bakau perlu diberi perhatian kerana menjadi kawasan penting bagi pembiakan udang dan pelbagai spesies hidupan laut.-EDISI UKAS