Kontinjen Sarawak Raih Pelbagai Pencapaian di Pentas AGG Kebangsaan
KUCHING: Gimnas Sarawak melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih kedudukan podium dalam AGG Dato’ Malek Cup 2026 dan AGG Malaysia Championship 2026 yang berlangsung di Endah Parade, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyertaan pada 26 dan 27 September itu menyaksikan gimnas daripada pelbagai sekolah dan kelab Sarawak berjaya mencatat keputusan memberangsangkan dalam beberapa kategori pertandingan.
Antara kejayaan utama diraih ialah tempat pertama oleh S.L. Elite dari SJK (C) Sungai Apong dalam kategori Sekolah Bawah 12 Tahun, manakala Lubak Phoenix dari SJK (C) Chung Hua Sungai Lubak dan Hexa Legends dari SJK (C) Chung Hua No. 6 masing-masing menduduki tempat kedua dalam kategori masing-masing.
Turut mencuri perhatian ialah kejayaan TD Elite Prime dari Track & Dance yang muncul juara bagi Program Pendek IFAGG kategori lapan hingga 10 tahun.
Selain itu, pasukan Sarawak turut mencatat beberapa lagi keputusan positif termasuk tempat ketiga oleh Hexa Heroes dan Night Stone, tempat keempat Rainbow Ruby serta Stars of Sarawak dan tempat kelima The Gifted Bunnies, Luminous, Lubak Shine serta Harmony Bloom dalam kategori berbeza.
Menurut Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA), pencapaian berkenaan membuktikan usaha dan komitmen gimnas, jurulatih, sekolah serta kelab dalam membangunkan sukan Kumpulan Estetik Gimnastik (AGG) di Sarawak.
Penyertaan itu melibatkan 69 gimnas daripada enam sekolah dan kelab, iaitu Track & Dance, Mine Dance Studio, SJK (C) Chung Hua Sungai Lubak, SJK (C) Chung Hua No. 6, SJK (C) Sungai Apong serta Rainbow Rhythmic Gymnastics Club, Sibu.
SAGGA berkata, kejayaan yang dicapai bukan sahaja memberikan pengalaman kepada gimnas muda Sarawak di pentas kebangsaan, malah menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan prestasi dalam pertandingan akan datang.
Dalam pada itu, SAGGA turut merakamkan penghargaan kepada Malaysian Aesthetic Group Gymnastics Association (MAGGA), hakim, pegawai teknikal, jawatankuasa penganjur, jurulatih, ibu bapa dan semua pihak yang menyokong penyertaan Kontingen Sarawak dalam kedua-duakejohanan tersebut.-EDISI UKAS