KMKK Jepak Perlu Proaktif Kenal Pasti Isu Masyarakat
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Jepak perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam mengenal pasti isu masyarakat bagi memastikan permasalahan di peringkat akar umbi dapat disalurkan kepada pihak berwajib dengan lebih cepat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata kedudukan KMKK sebagai pemimpin yang paling hampir dengan rakyat menuntut mereka sentiasa peka terhadap keadaan masyarakat, mudah didekati dan bertindak secara bijaksana.
Menurutnya, KMKK tidak seharusnya hanya menunggu sesuatu masalah berlaku atau dibawa kepada mereka, sebaliknya perlu turun padang serta mengenal pasti keperluan masyarakat lebih awal.
“Zaman telah berubah dan cara kita memimpin juga perlu berubah. Ketua hari ini tidak boleh lagi sekadar menunggu masalah datang mengetuk pintu, sebaliknya perlu proaktif, turun padang dan mengenal pasti masalah lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil KMKK DUN Jepak di Bilik Seminar, Dewan Suarah Bintulu, pada Rabu.
Iskandar berkata, pendekatan proaktif itu penting khususnya dalam menangani isu seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, pencerobohan tanah dan ancaman bencana, yang memerlukan maklumat disalurkan dengan segera kepada pihak berkuasa.
Pada masa sama, KMKK perlu memainkan peranan sebagai penghubung berkesan antara kerajaan dengan rakyat dengan memastikan maklumat berkaitan dasar, program dan bantuan kerajaan disampaikan secara tepat.
Beliau turut mengingatkan KMKK supaya membawa masalah serta aspirasi masyarakat kepada pihak berwajib tanpa ditapis atau ditangguhkan, termasuk mengenal pasti keperluan berkaitan infrastruktur asas, peluang ekonomi, pendidikan serta kebajikan warga emas dan golongan kurang upaya.
Dalam melaksanakan amanah tersebut, integriti turut perlu menjadi asas kepimpinan KMKK, khususnya dalam pengurusan dokumen, penyaluran bantuan dan urusan yang melibatkan kepentingan masyarakat.
Iskandar mengingatkan supaya kuasa dan kedudukan tidak disalahgunakan, selain tidak memilih kasih dalam menyalurkan bantuan atau meminta sebarang imbuhan sebagai balasan kepada perkhidmatan yang menjadi tanggungjawab mereka.
Beliau turut menyeru KMKK memanfaatkan teknologi termasuk telefon pintar, aplikasi perkhidmatan kerajaan dalam talian dan media sosial bagi mempercepat penyampaian maklumat serta membantu menangkis penyebaran berita palsu.
Dalam aspek pembangunan, beliau menegaskan manfaat pembangunan di Jepak perlu dirasai secara menyeluruh termasuk penduduk di kampung dan rumah panjang.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima sijil lantikan, termasuk yang baharu dilantik dan dilantik semula, serta merakamkan penghargaan kepada KMKK yang telah berkhidmat sebelum ini.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.-EDISI UKAS