Trio Adik-Beradik Ungguli Majlis Tilawah Al-Quran Bahagian Sibu
SIBU: Tiga beradik mencuri tumpuan apabila menungguli tiga kedudukan teratas kategori qari pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sibu Tahun 1448H/2026 di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), di sini pada Rabu.
Abdul Khalik Hasbullah muncul johan, diikuti abangnya Muhammad Zain Hasbullah di tempat kedua, manakala Hasnizan Hasbullah menduduki tempat ketiga.
Kejayaan tersebut menyaksikan podium kategori qari dikuasai sepenuhnya oleh tiga beradik berkenaan, mengatasi Muhammad Hanif Mohamad Jufri dan Ismady Hamid yang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, manakala Hamir Hamjah Kadri di tempat keenam.
Bagi kategori qariah, Masjuwita Rejeni muncul johan, diikuti Zaubidah Abta di tempat kedua dan Haslinda Hassan di tempat ketiga.
Dayangku Farahwaheda Awang Mohammed menduduki tempat keempat, manakala Samaah Abus dan Nura Saini masing-masing di tempat kelima dan keenam.
Johan bagi kedua-dua kategori menerima hadiah wang tunai RM1,500, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga menerima RM700 berserta piala.
Penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Syed Azmee Wan Junaidi, yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Turut hadir Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Ketua Masyarakat Bahagian Sibu, Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Sibu, Ustazah Rafeah Buang. -EDISI UKAS