Kerjasama Sekolah, Ibu Bapa Pacu Kecemerlangan Murid SK Tatau
TATAU: Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi memastikan kecemerlangan murid dapat dicapai secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah.
Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh, Gani Egit berkata, kejayaan seseorang murid bukan hanya bergantung kepada usaha individu, tetapi turut didorong sokongan berterusan warga pendidik dan ibu bapa.
“Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme dalam kalangan pendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau bagi sesi 2026, di sini, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan masa kini tidak seharusnya tertumpu kepada pembelajaran berasaskan buku semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada kemahiran berfikir aras tinggi bagi melahirkan generasi berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Guru Besar, barisan pentadbir dan guru SK Tatau atas komitmen melaksanakan pelbagai penambahbaikan sepanjang 2026 demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti kepada murid.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa atas usaha mendidik dan membimbing anak-anak, selain mengiktiraf pengorbanan guru yang menjadi antara tonggak utama kejayaan murid.
Majlis APC itu turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada murid cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta usaha mereka sepanjang sesi akademik 2026.
Turut hadir Guru Besar SK Tatau, Ibai Aning, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tatau, Mohammad Rizal Julaihi, ketua-ketua jabatan, barisan pentadbir, guru, ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.-EDISI UKAS