Sarawak Space Challenge 2026 Tarik Lebih 6,000 Peserta
MIRI: Sarawak terus membuktikan keupayaan melahirkan generasi pelapis berdaya saing apabila Sarawak Space Challenge edisi keenam menarik penyertaan melebihi 6,000 peserta tahun ini.
Kejayaan itu menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan program berkenaan mencecah lebih 24,000 anak muda di seluruh negeri ini sejak ia diperkenalkan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha kerajaan negeri memupuk bakat muda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang kini mahir memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menyelesaikan cabaran daripada pakar NASA.
"Program tahunan ini bukan sekadar hackathon biasa, malah menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu STEM, penguasaan bahasa Inggeris serta kesediaan industri dalam ekonomi digital masa kini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Penyelidik MEITD, Dr. Faustina Sangok pada Majlis Penutupan Sarawak Space Challenge 2026 di Miri, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Sri Roland memaklumkan sesi hackathon fizikal pada 14 dan 15 November lalu berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta di Kuching, Sibu, Miri serta buat julung kalinya di Bintulu.
Katanya, kejayaan penganjuran di empat lokasi itu hasil kerjasama dengan rakan strategik termasuk Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, OCI Terrasus dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Selari dengan tema global "Next Frontier", beliau menyeru para peserta agar terus berinovasi bagi membuktikan anak muda Sarawak mampu mencipta impak di peringkat antarabangsa.
Sambutan luar biasa turut direkodkan di peringkat sekolah menengah apabila tujuh buah sekolah menghantar lebih sembilan pasukan, dengan pengiktirafan khas diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau yang menghantar 77 pasukan.
Penyertaan di peringkat pengajian tinggi turut melibatkan beberapa institusi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), University of Technology Sarawak (UTS), Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, ICATS, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kolej vokasional.
Hadir sama jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat, James Butler Dewey.- EDISI UKAS