Jambatan Batang Lupar 2 Wujudkan Potensi Integrasi Pembangunan Sri Aman-Betong
SIMANGGANG: Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 telah mewujudkan potensi bagi mengintegrasikan perancangan pembangunan antara Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dengan Agensi Pembangunan Betong (BDA) melalui pendekatan perancangan makro.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hubungan yang semakin rapat antara Sri Aman dan Betong membolehkan kerajaan negeri melihat pembangunan kedua-dua kawasan menerusi pendekatan perancangan makro.
"Kita mahu kawasan ini berkembang sebagai satu rangkaian ekonomi yang saling melengkapi menerusi pelaksanaanpertanian seperti tanaman padi termasuk baka baharu iaitu Padi Baram, nanas dan pelbagai tanaman makanan yang lain.
"Dengan permintaan terhadap nanas juga semakin meningkat, kita juga turut dapat mempertingkatkan pengeluaran ikan talapia dan hasil makanan lain demi pembangunan ekonomi kedua-dua kawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 2, di sini pada Khamis.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pembangunan sektor berkenaan perlu disokong oleh sistem pengangkutan dan kemudahan logistik yang baik bagi memastikan hasil pertanian dapat dihantar ke pasaran dengan lebih cepat.
"Kita mesti mempunyai sistem pengangkutan serta kemudahan logistik yang baik supaya hasil pertanian dapat dihantar dengan cepat ke pasaran masing-masing dan sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan golongan petani.
"Bagaimanapun, adalah amat penting buat kita untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar serta pengeksport hasil makanan yang lebih berdaya saing dan seterusnya mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang kita mahukan sebelum ini," ujarnya.-EDISI UKAS