Sarawak Manfaatkan Geosains, Perkukuh Perancangan Pembangunan
MIRI: Sarawak mahu memanfaatkan kepakaran dan data geologi bagi memperkukuh perancangan pembangunan, khususnya dalam sektor minyak dan gas, penjanaan tenaga serta infrastruktur.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, maklumat itu turut membantu mengenal pasti kawasan berisiko bencana, menjamin sumber air dan meneroka peluang ekonomi baharu.
“Geosains bukan hanya mengenai sumber di bawah tanah. Ia juga mengenai usaha mewujudkan komuniti yang lebih selamat, lebih selesa didiami dan lebih inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan Ke-39 (NGC 2026) di sini, pada Khamis.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut merujuk kejadian tanah runtuh di Bukit Kanada, Miri sebagai contoh pentingnya data geologi dalam perancangan pembangunan.
Katanya, geologi kejuruteraan dan penilaian bahaya membantu mengenal pasti kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh, banjir serta ancaman lain bagi melindungi masyarakat dan infrastruktur.
“Kita mesti beralih daripada tindak balas bencana secara reaktif kepada pengurangan risiko secara proaktif. Ini bermakna pemetaan geologi dan penilaian bahaya mesti diintegrasikan sepenuhnya dalam perancangan negara dan bandar,” tegasnya.
Dalam sektor sumber pula, beliau berkata kepakaran geosains menyokong penerokaan dan pembangunan minyak, gas serta mineral bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.
Beliau turut merujuk sejarah pembangunan minyak di Miri sejak 1910 dan usaha kembali menjalankan penggerudian minyak di daratan selepas hampir 50 tahun.
Katanya, walaupun Sarawak mempunyai potensi hidroelektrik yang besar, negeri ini perlu mempelbagaikan sumber penjanaan bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan elektrik.
“Geosains membantu mengenal pasti dan menilai sumber gas asli yang digunakan sebagai bahan api untuk menghasilkan elektrik, manakala kajian geologi menyokong pemilihan tapak serta keselamatan pembinaan empangan,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan hidroelektrik, termasuk empangan berangkai, serta tenaga solar dan biojisim turut menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab tenaga serantau bagi menyokong Grid ASEAN.
Beliau turut menekankan peranan geosains dalam pengurusan mineral kritikal, pembangunan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pemantauan alam sekitar dan daya tahan terhadap perubahan iklim, selaras dengan tiga teras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, Sarawak telah menyediakan pelan induk sektor perlombongan, dengan pengurusan sumber berasaskan pengetahuan geologi, data alam sekitar yang boleh dipercayai serta keputusan yang bertanggungjawab.
“Saya berharap hasil penyelidikan tidak terhad kepada tujuan akademik, sebaliknya diterjemahkan kepada dasar yang boleh dilaksanakan, amalan industri lestari serta manfaat nyata kepada masyarakat,” ujarnya.
NGC 2026 berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober, dianjurkan oleh Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sarawak serta Universiti Curtin Malaysia, bertemakan ‘Innovation and Sustainable Geoscience for a Resilient Future’.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta dari dalam dan luar negara, dengan sekitar 165 pembentangan lisan serta poster merangkumi 12 tema.
Turut hadir, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen, Presiden GSM, Profesor Madya Meor Hakif Amir Hassan serta Pengarah JMG Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NGC 2026, Jaithish John. – EDISI UKAS